Michel Pierre,editor majalah La Bande Dessinne (Cerita Gambar Kartun) daripada Perancis mengatakan bahawa Jeneral De Gaulle pernah mengucapkan kepada Andre Malraux “Anda tahu,secara umumnya hanya Tintin sahaja merupakan pesaing saya di peringkat antarabangsa”.
Tintin et L’lle Noire,karya pelukis Belgium, Herge
Pengakuan secara berjenaka oleh bekas Presiden Perancis itu dapatlah digambarkan bahawa tarikan sejagat watak komik, Tintin et L’lle Noire yang dicipta dalam tahun 1929 oleh seorang pelukis Belgium yang bernama Herge telah meninggalkan suatu kesan dan pengaruh yang hebat terhadap kehidupan harian Jeneral De Gaulle. Keadaan ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa budaya komik merupakan suatu bidang yang berupaya meninggalkan kesan dan pengaruhnya yang tersendiri terhadap tamadun dan budaya sejagat.
Tidak dinafikan bahawa hari ini lukisan komik atau kartun terus menghibur dan mengkagumkan berjuta pembaca dan peminat di seluruh dunia. Sebagai hasil zaman komunikasi massa, ia mempunyai persamaan dengan wira yang muncul dalam cerita-cerita sastera rakyat dan wira daripada cerita-cerita advancer. Ia berkomunikasi dengan pembaca melalui gambar dan kata-kata yang penuh dramatik daripada watak wiranya yang tak pernah kenal takut menghadapi halangan dan tentangan!
Dengan pentakrifannya sebagai satu bentuk penceritaan secara terbuka yang dramatis berkenaan dengan segolongan watak yang berulangkali muncul dan dipaparkan dalam bentuk lukisan, yang seringkali memuat dialog dalam kurungan serta naratif cerita – komik akhirnya menjadi satu jenis kebudayaan popular yang tidak terhad golongan pembacanya. Ia merupakan satu bidang yang perlu dalam kerja-kerja journalisme melalui kolum editorial cartoonis yang sering mengulas sesuatu berita atau isu secara mudah, sinis, santai dan menghiburkan melalui sudut pandangan humor pelukisnya.
Untuk meneliti dan melihat sejarah perkembangan komik,kita perlu mengenang kembali kepada bentuk dan kehidupan manusia pra-sejarah semenjak di zaman batu lagi.Daripada zaman primitif itulah wujudnya tradisi ‘menggambar’ cerita seperti apa yang dapat kita kenali sebagai bentuk lukisan komik hari ini.
Budaya menggambar ini muncul semenjak manusia menjadi penghuni gua, di mana kecenderungan seperti itu menjadi alat bagi manusia zaman purba menyatakan perasaannya terhadap alam persekitaran melalui bentuk-bentuk gambar yang dilukis pada dinding-dinding gua. Dengan menggunakan medium arang dan batu-batu kapur, mereka menggambarkan setiap kesan pengalaman dalam bentuk sketsa binatang, alam semulajadi (flora dan fauna) dan juga bentuk-bentuk lukisan bercerita yang mengandungi makna dan falsafah yang tersendiri. Dapatlah dikatakan bahawa lakaran-lakaran cerita itu membawa pengertian terhadap survival yang dihadapi oleh manusia ketika itu.
Di Malaysia, kesan tradisi itu dapat dilihat di Gua Lukisan, lebih kurang 300 meter daripada Pekan Tambun, Ipoh, Perak. Lukisan-lukisan purba yang terdapat di dinding gua tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa keinginan ‘bercerita’ melalui bentuk gambar telah bermula semenjak purbakala lagi!
Lukisan purba di Gua Tambun
Walaupun struktur cerita yang digambarkan itu tidak lengkap dan sempurna, namun kesan-kesan imaginatif dan kreativiti seniman purbawi itu tidak boleh dinafikan. Ide keperwiraan yang dicetuskan oleh lukisan purba itu sangat menarik, di mana ia mengungkap falsafah ‘yang kuat menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba’. Hal ini mempunyai persamaan dengan tema-tema yang dibawa oleh para pelukis komik mutakhir.
Gambaran musuh bagi manusia zaman purba bukanlah datang daripada manusia itu sendiri,tetapi daripada binatang ganas dan juga iklim alamiah. Simbol seorang lelaki menjulang binatang ganas yang terdapat di dinding gua tersebut membuktikan segalanya.
Perkembangan komik moden hari ini membawa mesej permusuhan di antara manusia sesama manusia dan ini menjadi suatu pertentangan tema dengan lukisan-lukisan purba, sehingga mewujudkan satu suasana kekejaman yang tak putus-putus.
Tradisi menggambar ini berlanjutan dan berkembang terus selaras dengan tranformasi tamadun manusia itu sendiri. Daripada hasil-hasil penemuan baharu, bidang ini akhirnya berkembang dalam bentuk dan persembahan yang lebih kemas dan kreatif.
Lukisan komik dalam bentuk bersiri yang dihasilkan menerusi petak-petak kecil sebenarnya mempunyai tradisi yang kukuh di kawasan Asia. Perkembangan ini ternyata jelas sekali di kalangan penganut agama Hindu dan Buddha, di mana mereka sering menggambarkan mitos agama dalam bentuk lukisan bersiri di atas helaian kain. Ukiran-ukiran pada tembok berhala yang menggambarkan sejarah perkembangan agama tersebut dapat dilihat pada candi-candi Angkor Wat, di Kampuchea serta Borobodor dan Prambanan, di Jawa.
Angkor Wat
Teknik persembahan komik dalam bentuk moden seperti yang ada sekarang telah bermula di Amerika Syarikat, iaitu di akhir abad ke-19. Penggunaan teknik yang lebih sofistikated telah membolehkan sesorang pelukis mempersepadukan di antara teks dan gambar. Melalui teknik yang lebih terbuka pelbagai watak mampu ‘bercakap’ dan menghidupkan cerita tanpa ada batasan ruang.
Perkembangan struktur cerita dan lukisan serta gaya persembahan grafik merupakan campuran di antara kemajuan teknologi moden dengan gaya kreatif manusia itu sendiri. Tradisi yang bermula di dinding-dinding gua zaman Peradaban Neolithic telah bertukar ke atas kertas melalui zaman media cetak. Ia berkembang hasil zaman komunikasi massa yang memerlukan komik dan kartun sebagai alat journalisme yang menonjolkan ungkapan-ungkapan politik dan budaya sesuatu masyarakat.
Komik juga merupakan sintesis tulisan dan lukisan yang jenisnya amat berbagai, dan ia berada di sempadan antara kesusasteran dan visual filem. Teks dan gambarannya saling bertindih dan ia menimbulkan pula suatu bentuk seni yang boleh menarik minat generasi muda terhadapnya.
Kita dapat melihat bahawa lukisan komik berkembang kerana terdapatnya alat percetakan serta kaedah edaran moden, namun ia sebenarnya berasal daripada tradisi lama. Di Benua Eropah,asal-usulnya boleh dikesan daripada gambaran d’Epinal di negara Perancis dan cerita bergambar seorang bangsa Switzerland, Rodolphe Topffer (1799-1846) serta daripada lukisan bergambar seorang bangsa German, Wilhelm Busch (1832-1908).
TinTin,dari komik ke filem
Putera Hang Tuah,karya Saidin Yahya
Di negara Jepun, sejarah komik meraka bermula pada abad ke-9, iaitu melalui lukisan Choju-Guica Emakimono (Cerita-cerita Pada Kertas Bergulung). Ia merupakan campuran di antara lukisan komik dengan laporan berita perang,legenda, falsafah dan kejadian-kejadian harian.
Di negara China pula, komik mula berkembang semenjak Zaman China Purba lagi. Lukisan-lukisan dalam bentuk yang mirip kepada komik telah muncul dalam buku Liau hua jua (Buku Kecil Bergambar). Pada tahun-tahun 20-an dan seterusnya, buku-buku bergambar ini semakin pesat berkembang dan selepas tahun 1939, kebanyakan buku-buku bergambar itu muncul dalam bentuk laporan tentang aspek-aspek negeri China sezaman. Ia juga dicampurkan dengan lukisan komik dengan teknik yang kuno.
Di Malaysia, komik mula berkembang pesat dalam bentuk moden di sekitar tahun-tahun 30-an, di mana ia mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan bidang persuratkhabaran yang mula memasuki era kebangkitan nasionalisme.
Peranan akhbar dan majalah di sekitar tahun 30-an amat besar terhadap perkembangan komik serta para pelukisnya. Antara akhbar dan majalah yang banyak membantu perkembangan komik,kartun dan karikatur adalah seperti Warta Jenaka, Lembaga, Utusan Melayu, Majlis, Utusan Kanak-Kanak dan beberapa lagi. Para pelukis yang bergiat ketika itu di antara, Abdullah Ariff, Saidin Yahya, Yusoff Sharif, Othman Kangkong, Hashim Awang, Ali Sanat dan A.B.Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).
akhbar Utusan Kanak-Kanak wadah pelukis komik 50an
Aliran memudahkan persembahan komik dalam bentuk apa yang kita lihat hari ini bermula di Eropah. Beberapa orang pelukis di sana telah melahirkan bentuk komik yang khusus dengan mempelopori satu aliran yang akhirnya menjadi ikutan kepada para pelukis di seluruh dunia. Aliran ini bermula di Belgium; ia menghasilkan cerita dengan plotnya dijalin dengan baik. kemas dan tidak meleret-leret serta teknik lukisannya yang kelihatan mudah tapi menarik.
Pelukis daripada Amerika Latin juga telah memperkembangkan gaya yang asli, terutamanya pelukis daripada Argentina, di mana terdapat pelukis-pelukis seperti Quino (pelukis siri komik, Mafalda – 1964), Oski, Mordillo, Monoz dan Sampayo, di mana mereka semua telah menerbitkan komik-komik yang bermutu serta kemudiannya menjadi ikutan kepada pelukis-pelukis Amerika Syarikat.
Corto Maltese-The Ethiopic,karya Hugo Pratt
Setiap watak yang terdapat pada cerita-cerita komik atau kartun biasanya dicipta bagi budaya yang khusus dan dibentuk bagi pembaca yang tertentu serta mempunyai kepentingan yang tersendiri mengikut konteks lain. Misalnya siri komik Corto Maltese, The Ethiopics yang dilukis oleh Hugo Pratt untuk majalah-majalah Italy dan Perancis telah disesuaikan pula oleh para pejuang pembebasan Angola. Mereka melihat dan membaca pemikiran watak sayap kiri yang digambarkan oleh Hugo Pratt dalam komik Corto Maltese sebagai membayangkan perjuangan dan tumpuan mereka dalam usaha membebaskan Angola daripada tangan penjajah! Begitulah kuatnya pengaruh komik terhadap tamadun manusia,sejaran dan kebudayaan sejagat.
komik, Nasdine Hodja
Komik juga boleh menghasilkan alat komunikasi antara tamadun dengan budaya.Hal ini terjadi apabila Nasrudin Hodja,wira lagenda dalam cerita-cerita humor Islam telah menjadi wira dalam komik Perancis yang diterbitkan oleh majalah mingguan kanak-kanak, Vaillant dalam tahun 1955. Siri komik tersebut dikenali dengan nama Nasdine Hodja, dilukis oleh dua orang pelukis, P.Leguen dan R.Lecureux banyak memaparkan corak kebudayaan Arab yang jauh bertentangan dengan corak kebudayaan bangsa Perancis.Namun sebagai suatu penghasilan seni, bidang komik dapat menghindari masalah perbezaan budaya melalui caranya yang tersendiri.
Fantasi,Sept.1985,hal: 5,37,38