Arkib untuk Jun, 2013

Awal tahun-tahun 50an, kegiatan penerbitan majalah-majalah ringan berbentuk hiburan kelihatan tumbuh bercambah dengan suburnya. Majalah-majalah hiburan tersebut banyak membuka ruang  untuk penampungan senilukis komik. Perkembangan bidang komik amat bergantung kepada ruangan majalah untuk memperkembangkan bakat seseorang pelukis dan menyebarkan karya-karya mereka kepada masyarakat.

Di antara majalah dan akhbar yang menyediakan ruangan khusus untuk komik dan juga kartun adalah seperti Hiboran, Gelanggang Filem, Film Raya, Kenchana, Utusan Kanak-Kanak, Utusan Filem dan Sport, Tunas, Mutiara, Utusan Zaman, Hiboran Filem, Fashion, Jenaka, Melayu Raya, Asmara dan sebagainya lagi

Imej

akhbar Utusan Melayu

Manakala penerbit-penerbit buku, majalah dan akhbar yang menunjukkan minat terhadap penerbitan buku-buku komik ataupun siri-siri komik di antaranya adalah seperti Geliga Limited, Harmy, Abu Bakar Al-Ahmadi, M.A.Abdul Hameed, Utusan Melayu,Royal Press, MIBS, Melayu Raya Press Limited dan The Annies Printing Work (sekadar menyebut beberapa nama).

Kemunculan nama-nama baru dalam kelongsong senilukis komik amat ketara ketika itu. Benih yang dicambah oleh Ali Sanat melalui watak pojok Wak Ketoknya mula kelihatan tumbuh dengan suburnya dan menjadi pemangkin kepada perkembangan yang seterusnya.

Nama-nama baru yang muncul ketika itu di antaranya Raja Hamzah, Halim Teh,Hashim Awang, Othman Kangkong,Yusoff Sharif,Yusoff Idris Kelantan,Nora Abdullah,Idris Salam, Rashid Din, Nik Mahmud Idris, K.Bali dan beberapa nama lagi.

Seorang tokoh terpenting dalam senilukis komik yang muncul dalam dekad ini ialah Raja Hamzah. Beliau memulakan kegiatannya pada tahun 1955, bila mana muncul 15 siri buku bergambar yang berjudul Piring Terbang sebagai hasil karyanya yang pertama. Ketika menghasilkan siri buku tersebut, Raja Hamzah masih lagi menuntut di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Selepas tiga tahun menjadi pelukis secara sambilan, kegiatan beliau berkembang apabila bertugas sebagai pelukis di syarikat akhbar Utusan Melayu. Di akhbar Utusan Melayu, Raja Hamzah berjaya membentuk atau menghasilkan dua watak komik, Wak Tempeh dan Dol Keropok, di mana akhirnya kedua-dua siri ini menjadi popular di kalangan pembaca akhbar dan peneliti politik semasa.

Imej

Raja Hamzah, tokoh komik Melayu

Watak Wak Tempeh dan Dol Keropok yang muncul dalam akhbar Utusan Melayu pernah menggemparkan masyarakat Melayu ketika itu dengan episod-episod lucu, bernas,sinis dan sindiran yang menyorot liku kehidupan, terutama dalam perihal sosial, politik dan keagamaan. Sudut pandangannya yang kritikal melalui pencernaan humor mengandungi banyak pengajaran dan nasihat.

Imej

Puteri Bisa,oleh Raja Hamzah,Pustaka Antara 1962

Imej

Puteri Bisa,intro komik Raja Hamzah,1962

Imej

Nelayan Di-Pulau Tengkorak, Pustaka Antara 1961

Imej

Raja Hamzah dan ketelitian karya

Ketika bertugas sebagai pelukis di Pustaka Antara, Raja Hamzah menghasilkan banyak buku-buku komik yang membawa pelbagai tema. Cerita-cerita daripada buku Hikayat 1001 Malam turut diangkat menjadi cerita komik, di samping mengungkap kembali cerita-cerita klasik dari buku Cherita Jenaka seperti Lebai Malang, Si Lunchai, Mat Jenin, Nujum Pak Belalang dan juga cerita-cerita seperti Abu Nawas, Ali Baba, Bawang Puteh Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya.

Komik-komik Raja Hamzah ketika ini membawa tema yang beragam. Daripada tema purbawara, seram, jenaka, kemasyarakatan sehinggalah membawa kepada tema yang lebih besar daripada itu. Beliau menunjukkan potensi yang sebenar dalam bidang komik melalui penerbitan karya secara prolifik. Nilai kesepaduan komik beliau terletak pada kepadatan gambar, cerita dan interaksi watak diseimbangkan dengan baik. Imej-imej figura dan latar hiasan amat menonjol dalam setiap persembahan komiknya. Ruang panel diisi penuh dengan bantuan kesatuan aksi watak, dialog dan naratif cerita yang jelas.

Itulah Raja Hamzah, personaliti komik yang ulung selepas Saidin Yahya, yang mampu membentuk gaya dan identiti tersendiri dalam memperkenalkan bakatnya kepada khalayak pembaca komik

Sebagai seorang pelukis yang memiliki gaya dan gurisannya yang tersendiri, Raja Hamzah berjaya mengelak dirinya dari terpengaruh dengan gaya persembahan komik Saidin Yahya. Beliau berjaya mengangkat mutu lukisan komik Melayu ke tahap yang lebih sempurna. Beliau juga meninggalkan pengaruh yang kukuh terhadap pertumbuhan bakat baru dalam senilukis komik Melayu. Seperti Saidin Yahya, beliau juga menjadi ikon dan ikutan kepada ramai pelukis komik yang baru muncul ketika itu.

Raja Hamzah merupakan seorang pelukis yang gigih dan cermat dalam berkarya. Buku-buku komik hasil karyanya mendapat sambutan baik dari peminat. Namanya menjadi semacam ‘label’ atau jenama utama dalam pemilihan buku-buku komik yang bermutu. Beliau seolah ‘kilang’ yang tak pernah surut dalam berkarya. Memetik kata Kartunis Lat, “…bukan saja kerana lukisan dan ceritanya yang menarik, tetapi komik Raja Hamzah adalah yang paling banyak diterbitkan. Raja Hamzah tidak pernah berhenti mengeluarkan komik baru untuk menjamu selera peminatnya.” (Lihat, Kali Pertama Bertemu Raja Hamzah, Berita Minggu, 18 Oktober 1981, hal.8)

Komik-komik karya Raja Hamzah adalah persembahan hiburan yang mengandungi mesej. Karya yang baik baginya adalah yang mengandungi pengajaran. Melukis komik bagi beliau adalah satu pekerjaan, dan bukan sebagai suatu hobi ataupun memenuhi masa lapang. Kerana itu kita dapat melihat karyanya sangat bertanggungjawab dalam soal mutu dan teknik lukisan. Para pelukis yang tidak serius biasanya melahirkan karya yang mentah dan bermutu rendah. Dalam hal ini Raja Hamzah menegaskan, “…sekiranya mereka menganggap melukis komik sebagai tugas yang perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab, mereka pasti dapat menghasilkan karya yang baik. Dan setiap yang baik boleh memenangi hati orang ramai.” (Berita Minggu, 1973)

Ketika bertugas dengan Kumpulan Akhbar The News Straits Times, Raja Hamzah banyak menghasilkan komik dan kartun di akhbar Berita Harian dan Berita Minggu. Di antara siri yang popular ialah Keluarga Mat Jambul, yang diterbitkan dalam keluaran sulong Berita Harian pada 1 Julai 1957 sehingga 1981 dan juga siri komik Kelana.

Siri Keluarga Mat Jambul memaparkan telatah Mat Jambul dan isterinya Gayah dengan membawa pelbagai isu kekeluargaan yang disentuh secara lelucon. Siri ini sebenarnya merupakan adaptasi strip komik The Gambols yang dilukis oleh kartunis Inggeris, Barry Appleby yang diterbitkan dalam akhbar Daily Express selama 46 tahun  semenjak 1950 dan berakhir apabila Barry Appleby meninggal dalam usia 86 tahun pada 1996. Manakala siri Mat Jambul pula tamat apabila Raja Hamzah meninggal di Arafah, ketika menunaikan fardhu Haji pada 7 Oktober 1981.

Di antara pertengahan tahun 70an, komik Raja Hamzah yang sangat popular melalui akhbar Berita Minggu adalah siri Toyol, kisah Hj.Dawan yang membela toyol yang menjadi ikutan dan menarik minat pelbagai golongan pembaca. Kemunculan siri Toyol mengembalikan populariti Raja Hamzah di kalangan peminat komik. Siri Toyol menjadi begitu popular sehingga timbul gimmick daripada pembaca yang mengatakan bahawa mereka membeli akhbar tersebut semata-mata untuk mengikuti siri tersebut.

siri Keluarga Mat Jambul

siri Keluarga Mat Jambul

Selain siri Toyol, Raja Hamzah juga menghasil komik seperti Sang Kancil, Anak Toyol, Ali Baba, Kalong Noryati, Panglima Nayan, Potret Puaka, Ratna Lela, Aladin dan pocket carton, Mat Setinggan. Dua buah komik beliau juga mendapat tempat di akhbar News Straits Times, setiap hari Jumaat di halaman Friday Flair, iaitu komik Tun Perak dan Tun Fatimah. 

di antara karya komik Raja Hamzah

di antara karya komik Raja Hamzah

 

Di antara tahun 1954 hingga 1956, Saidin Yahya telah menghasilkan siri komik untuk Majalah Guru dengan judul Puteri Langkawi, yang berupa penceritaan kembali strip komik tentang legenda terkenal, Mahsuri. Seperti biasa Saidin mengolah dan menceriterakan kisah tersebut mengikut gaya milik peribadinya. Di bahagian terakhir siri ini beliau menulis, “Hidup Mesti Amanah”, iaitu suatu bentuk kesimpulan mesej yang ingin disampaikan melalui komik tersebut. Siri Puteri Langkawi kemudian dikumpul dan diterbitkan dalam bentuk buku komik oleh Sinaran Bros pada tahun 1957 dengan judul Mahsuri Puteri Langkawi. Unsur-unsur pendidikan memang jelas terselit dalam setiap karyanya. Bagaimana pun, seperti apa yang dijelaskan dahulu, Saidin Yahya bukanlah seorang propagandis!

permainan tone yang rthymisdalam karya Saidin

permainan tone yang rthymisdalam karya Saidin

Sebagai seorang pelukis, Saidin memiliki kekuatan imaginasi yang sangat asli. Liuk-lenggok stroke, setting dan juga shot lukisannya memiliki ciri-ciri khas peribadi yang memudahkan pembaca mengenali karyanya walaupun tanpa merujuk tanda namanya. Cahaya dan montaj penggambarannya amat jelas dan tepat melalui pengaturan gelap terangnya yang rythmis.

Ketika berkarya, Saidin adalah seniman yang ‘sangat Melayu’, di mana pengolahan tema dan pemakaian watak-watak komiknya membawa nilai kemelayuan yang unggul. Beliau tidak meniru atau menyalin perwatakan daripada komik Barat yang beredar di pasaran ketika itu . Beliau memilih untuk kekal dengan tradisi.

Selain melukis komik, Saidin Yahya juga merupakan seorang ilustrator yang berkaliber. Beliau banyak menghasilkan ilustrasi untuk buku-buku teks sekolah terbitan Sinaran Bros dan beberapa penerbitan yang lain.Hasil ilustrasi karya beliau boleh dianggap setanding dengan ilustrasi yang dihasilkan oleh Abdullah Ariff, seorang pelukis kontemporari dan ilustrator yang tersohor ketika itu. Saidin juga merupakan seorang pelukis semasa yang aktif dan banyak menghasilkan karya dalam bentuk pemandangan (lanskaps) dan juga potret beriringan dengan pelukis dan juga teman rapatnya A.B.Ibrahim

ilustrasi buku teks oleh Saidin Yahya

ilustrasi buku teks oleh Saidin Yahya

ilustrasi buku teks hasil kerja Abdullah Arif

ilustrasi buku teks hasil kerja Abdullah Arif

Kelawak Hiburan,Rezeki Terbang Kasut Hinggap karya A.B.Ibrahim,majalah HIBORAN,bil.250,mei 1952

Kelawak Hiburan,Rezeki Terbang Kasut Hinggap karya A.B.Ibrahim,majalah HIBORAN,bil.250,mei 1952.

Di tahun-tahun 50an, seorang lagi pelukis yang berbakat muncul dalam arus pergerakan senilukis komik, iaitu Mohd.Salehuddin. Di antara hasil karya komik beliau yang popular ialah siri Pak Long dan Pak Ngah, yang terbit di akhbar Utusan Zaman, siri Atan Dengan Pak Mustafa dan siri komik Si Kumbang yang diterbitkan oleh akhbar Utusan Kanak-Kanak.

Dua siri komik yang terawal itu merupakan siri yang jelas memaparkan ciri-ciri pendidikan melalui geraklaku dan percakapan watak-watak utamanya. Manakala siri komik Si Kumbang sangat popular dan mengangkat nama Mohd.Salehuddin dalam bidang senilukis komik Melayu ketika itu.

Komik Si Kumbang mungkin ada sedikit pengaruh komik Tarzan,karya tulisan Edgar Rice Burroughs yang terkenal itu, namun begitu Si Kumbang bukanlah komik adaptasi. Ia berdiri dalam bentuk,teknik dan gaya Mohd.Salehuddin yang tersendiri.

Mohd.Salehuddin

Mohd.Salehuddin

Si Kumbang merupakan watak seorang pemuda Melayu yang hidup dan berjuang di tengah-tengah hutan yang melibat manusia dengan kehidupan berbagai jenis binatang. Si Kumbang muncul menjadi watak hakim dalam masyarakat binatang. Dia muncul sebagai penyelamat kepada watak lemah yang sering menjadi ‘makanan’ kepada watak kuat.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Mohd.Salehuddin adalah persoalan universal, sebuah satira yang berlaku setiap hari sama ada di zaman moden atau purba yang mencangkupi kehidupan manusia dan juga binatang.

Imej

Atan Dengan Pak Mustaffa-karya Mohd.Salehuddin

Di samping menghasilkan cerita-cerita bergambar, Mohd Salehuddin juga merupakan seorang pelukis sezaman yang aktif melalui Angkatan Pelukis Semenanjung (APS). Beliau juga adalah seorang penulis fiksyen dan wartawan akhbar yang pernah mendapat asuhan daripada Bapak Kewartawanan Melayu, Abdul Rahim Kajai.

Karya-karyanya yang berbentuk cerpen,novel sains fikyen banyak diterbitkan. Siri komik Si Kumbang juga pernah dijadikan siri novel di sebuah akhbar dengan mengemukakan watak Si Kumbang sebagai manusia yang hidup dalam dunia sains fiksyen penuh fantasi

Hidup Berjuang,novel karya Mohd.Salehuddin

Hidup Berjuang,novel karya Mohd.Salehuddin

kartun karya Mohd.Salehuddin-Mastika 1951

kartun karya Mohd.Salehuddin-Mastika 1951

Seperti bidang lain juga, komik Melayu ikut berkembang menurut peredaran waktu. Lewat tahun-tahun 40an, kita melihat satu gerakan baru muncul dalam urutan sejarah senilukis komik di Malaysia (Malaya). Kemunculan nama-nama baru yang lebih progresif seperrti Saidin Yahya, Jamil Sulong, Abdullah Salehi, A.Ghani, K.Bali, O.S.Arshad, Mohd.Hussin, Yusoff Idris Kelantan dan Nas Achnas (sekadar menyebut beberapa nama) telah membawa satu bentuk yang lebih menyakinkan dalam persembahan komik.

Komik dalam bentuk ‘cerita bergambar’ telah mula diamal dengan baiknya. Kemunculan majalah HIBORAN dalam tahun 1946 telah membuka peluang kepada beberapa orang pelukis untuk menunjukkan bakat dalam bidang komik. Beberapa orang pelukis seperti K.Bali, O.S.Arshad, Mohd.Hussin dan Yusoff Idris Kelantan telah menghasilkan komik yang bersambung-sambung dalam setiap keluaran majalah Hiboran. Manakala Nas Achnas, seorang pelukis yang berasal dari Sumatera Barat, pertama kali menyumbangkan komiknya untuk majalah Hiboran bilangan 26, keluaran Hari Raya 1366 (1947) dengan cerita Coretan Sebulan Pertemporan Republik Indonesia Dengan Belanda. Beliau juga merupakan seorang pelukis ilustrasi kulit buku serta seorang pengarah filem yang aktif.

Imej

Yusuf Idris Kelantan

Pelukis lain yang muncul dengan penuh berbakat ketika itu ialah Jamil Sulong (juga pengarah Filem) yang mula bergiat di sekitar pertengahan tahun 40an, bila mana muncul beberapa buah lukisan komik beliau di majalah-majalah seperti Film Raya, Hiboran, Terang Bulan dan beberapa buah lagi. Di antara komik beliau yang terkenal seperti Harta Lanon, Sang Arjuna, Kelawak Hiboran dan sebagainya.

Siri Kelawak Hiboran yang tersiar di majalah Hiboran adalah sebuah karya Jamil Sulong yang sangat popular ketika itu. Ia merupakan persembahan humor yang memberi hiburan serta tunjuk teladan kepada para pembaca. Mesej yang disampaikan melalui bentuk humor biasanya meninggalkan kesan yang dalam. Jamil Sulong juga seorang penulis fiksyen dan rencana yang aktif ketika itu. Keupayaan beliau menguasai dua bidang kreatif ini telah menjadikan karya komik yang dihasilkannya mengadungi ‘cerita dan gambar’ yang menarik dan berkesan.

Majalah Bintang,1951

Kelawak Hiboran,karya Jamil Sulong,majalah Hiboran,1951

komik Jamil Sulong,Sang Rajuna,majalah TUNAS

komik Jamil Sulong,Sang Rajuna,majalah TUNAS,1950

Tak Pandai Mengira-karya Jamil Sulong,Filem Raya,12 Mei 1951

Tak Pandai Mengira-karya Jamil Sulong,Filem Raya,12 Mei 1951

Imej

Nas Achnas

Tahap pencapaian senilukis komik yang lebih bermakna berlaku apabila muncul Saidin Yahya, seorang pelukis berbakat daripada Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan salah seorang tokoh terpenting dalam bidang senilukis komik di Malaysia. Kemunculan beliau membawa erti dan makna baru kepada pertumbuhan  senilukis komik Melayu moden.

Saidin Yahya adalah seorang pelukis yang memiliki falsafahnya yang tersendiri dalam berkarya. Komik-komik hasil lukisannya berpaut kuat kepada tradisi Melayu yang berasaskan kepada prinsip moral. Secara tidak langsung, karya-karya Saidin Yahya merupakan pancaran di antara unsur-unsur patriotik dan moral; di mana unsur-unsur tersebut berupa suatu cetusan ke arah kebangkitan semangat nasionalisme melalui seni komik

Imej

Saidin Yahya, tokoh ulung komik Melayu

Imej

Badang, karya Saidin Yahya

Untuk menyambung perbandingan antara karikatur Wak Ketok dengan hasil-hasil ‘cerita bergambar’ dari pelukis selepasnya, satu hubungan yang tidak hanya sesuatu yang lazimnya tetapi memperlihatkan tanda yang paling menyakinkan dari pendapat yang klise dalam pembikinan komik, iaitu perasaan tanggungjawab untuk ‘mengembangkan’ karikatur corak lama menjadi ‘cerita bergambar’ dan keyakinan bahawa proses ini akan membuktikan sesuatu yang lebih baik, yang mana sebuah karikatur ringan yang diasaskan oleh Ali Sanat boleh menjadi suatu persembahan komik yang berdiri dalam erti kata yang sebenar.

Dalam hubungan ini, kelihatan bahawa Saidin Yahya serta beberapa orang rakan seperti Senu (kemudian Tan Sri Senu Abdul Rahman), A.B.Ibrahim dan C.Mahat telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mewujudkan satu bentuk kebudayaan komik yang boleh dipertanggungjawabkan. Buku-buku komik perlu diterbitkan sebanyak mungkin bagi mengisi kekosongan bahan bacaan bergambar yang amat ketara ketika itu.

Komik-komik Saidin Yahya kebanyakannya membawa tema-tema bercorak tradisi (purbawara) seperti cerita-cerita legenda, mitos, bari dan cerita-cerita yang di petik daripada buku Sejarah Melayu. Cerita-cerita popular seperti Si Tanggang, Raja Bersiong, Mahsuri, Hang Tuah, Badang dan sebagainya banyak dikutip oleh Saidin Yahya untuk dijadikan komik. Unsur-unsur moral dan pendidikan diterap dengan baik dalam setiap petak lukisan komiknya.

Dengan mengamalkan gaya dan teknik lukisan Melayu yang asli, Saidin menghasilkan karya yang tidak kesasar dari nilai hidup masyarakatnya. Lukisan beliau amat jelas dan berkesan dengan penekanan terhadap detail. Kita boleh mengenali identiti Saidin melalui gaya dan gurisan (stroke) yang sangat asli. Tanpa melihat tandanama sekalipun kita sudah tahu bentuk rupa dan gaya lukisan komik Saidin. Walaupun komik-komik karya Saidin Yahya banyak membawa unsur-unsur didaktif atau motif pengajaran yang tebal, namun beliau bukanlah seorang propagandis totok! Beliau memberi satu persembahan komik yang berkesan; campuran di antara kematangan lukisan dan kemantapan cerita.

Saidin Yahya sangat lurus dalam mengamalkan teknik bercerita secara tradisi. Ini amat sesuai dengan tingkat pengalaman sejarah senilukis komik ketika itu. Malah, teknik plot-petak yang lurus merupakan satu struktur yang kukuh diamalkan ketika itu. Sebagai seorang tokoh penting dalam sejarah senilukis komik di Malaysia, Saidin telah menjadi suatu contoh kepada pelukis-pelukis lain dalam memperkembangkan bakat mereka. Pengaruh Saidin Yahya sangat kuat dan dia menjadi ikutan ramai pelukis-pelukis baru

Puteri Langkawi, oleh Saidin Yahya, Mujallah Guru 1955

Sultan Alauddin, karya Saidin Yahya 1959

.

Sebuah komik Saidin yang menarik pada hemat saya ialah Hang Tuah, (Sinaran Bros,1954) yang berupa satu mitologi sejarah keagungan Kerajaan Melayu Melaka yang turut ditunjangi oleh keperwiraan para pahlawannya. Bagi satu jangka masa tertentu, kita melihat siri ini seperti sebuah filem yang bergerak di atas kertas.Tulisan Jawi sebagai naratif ceritanya juga cantik seperti mana juga lukisannya.

Putera Hang Tuan 1, oleh Saidin Yahya

Putera Hang Tuan 1, oleh Saidin Yahya

Hang Tuah, komik karya Saidin mungkin tidak mampu menyaingi tingkat pencapaian siri Hang Tuah, komik karya pelukis Jaafar Taib yang muncul hampir 30 tahun selepasnya. Hang Tuah dari tangan Jaafar Taib muncul ketika senilukis komik Melayu Malaysia berada di tahap kemuncak perkembangannya melalui peralatan dan tenik moden yang muncul sejajar dengan zamannya.

Sebuah lagi karya Saidin yang juga menarik untuk dihayati ialah Badang Beroleh Gagah (Sinaran Bros, 1956) iaitu sebuah kisah yang popular di kalangan masyarakat Melayu. Komik Badang Beroleh Gagah, seperti mana komik Hang Tuah merupakan cerita yang dipetik dari buku Sejarah Melayu, karya Tun Seri Lanang yang terkenal itu. Komik Badang Beroleh Gagah merupakan penonjolan watak supernatural Melayu. Badang ciptaan Saidin mungkin tidak sehebat lukisan komik Amerika yang menonjolkan watak super-hero mereka seperti komik Conan, Hulk dan sebagainya. Namun kekuatan Badang lebih ditonjolkan melalui kekuatan dan keperkasaan yang tercetus secara mistik batin. Watak Badang dan hero komik Amerika sangat berbeza dari segi nilai budaya.

strip komik Hang Tuah,karya Jaafar Taib,Berita Harian,Sabtu,19 Disember 1981

strip komik Hang Tuah,karya Jaafar Taib,Berita Harian,Sabtu,19 Disember 1981

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982