Posts Tagged ‘komik’

Bidang komik telah memberi satu pengertian baru kepada perkembangan politik dan sosial sesuatu masyarakat. Ia juga mencerminkan dengan jelas sikap, selera dan tabiat masyarakat ramai. Oleh itu setiap persembahan komik perlu diawasi agar tidak menyentuh mana-mana pihak secara terang-terangan.

Di Amerika Syarikat, pada suatu masa ruangan komik Little Orphan Annie pernah ditarik kerana ia mengecam rancangan Presiden F.D.Roosevelt dan begitu juga komik Pogo sering juga ditarik penerbitannya dalam tahun 50an daripada akhbar-akhbar kawasan Selatan Amerika kerana menyindir sistem pelajaran yang membeza-bezakan warna kulit. (Lihat,The Comics As Culture dalam Journal of Popular Culture, Jilid 12,Bil.5, September 1979 oleh M.Thomas Inge).

Di Malaysia,aliran komik yang mengkritik serta mengecam tidak banyak berlaku.Namun dalam kecamuk politik mutakhir,beberapa kartunis dilihat lebih berani membuat pentafsiran politik dengan menggunakan kartun untuk mengkritik pemimpin.Hal ini saya akan perkatakan kemudian.

Ada juga terdapatbeberapa penerbit daripada luar Malaysia,umpamanya telah mengedar komik-komik yang didapati bercanggah dengan akidah Islam.Pada tahun 1985,Jabatan Perdana Menteri melalui Pusat Islam telah mengesan sepuluh buah  buku komik yang menonjolkan cerita tentang nabi-nabi; dengan menggambarkan perwajahan nabi-nabi. Komik tersebut terang-terang melanggar akidah Islam yang melarang melukis atau menggambarkan wajah nabi. (Lihat,Berita Minggu,9 Jun 1985,hal.17)

Begitu juga terdapat komik-komik berbahasa Cina yang diterbitkan di luar negara cuba menyebarkan dakyah komunis melalui bentuk seni yang mempunyai bilangan pembaca yang tidak terhad,(lihat,Berita Harian,5 November 1984,hal.1). Keadaan seperti ini ini mesti diawasi agar komik tidak dijadikan alat untuk memperkembangkan fahaman politik anarkis yang menolak kewujudan Tuhan. Mengeksploitasikan bidang komik untuk sesuatu tujuan tidaklah bersalahan tetapi kalau sesuatu tujuan itu nyata dan terang-terangan melanggar etika, maka ia perlu dicegah.

Tiap-tiap ruangan komik atau kartun dalam akhbar harian masing-masing menyokong salah satu daripada nilai-nilai yang dipersetujui bersama dalam setiap masyarakat. Blondie, karya Chic Young dan Li’ Abner menyokong nilai bahawa keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Di Norway, siri kartun Blondie telah berjaya membantu jualan marjerin. Siri komik Judge Parker dan Rex Morgan pula menyokong idea bahawa harus ada ketertiban dan keadilan dalam melakukan berbagai profesion. Manakala siri Peanuts dan The Wizard of Id pula mengandungi sindiran humor yang pada waktu sama menjadi kayu ukur pada penyelewengan yang dipaparkannya.

Di Malaysia, siri  kartun Din Teksi, umpamanya membawa mesej dan kesimpulan kepada bentuk kehidupan keluarga bahagia serta ragam corak kehidupan masyarakat kota.Kartunis Nan, sebagai pelukisnya sering melihat keharmonian hidup masyarakat majmuk melalui imaginasi humor seorang pemandu teksi separuh usia yang berurusan dengan pelbagai tingkahlaku msayarakat kota dalam semua peringkat.

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982.

Lat, melalui siri Si Mamat mengeksploitasi watak kanak-kanak melalui kenakalannya bagi mencetuskan kritikan secara tidak langsung terhadap kehidupan sosial masyarakat Malaysia. Fatah, melalui siri A.Mamud dan Malaysia Permai mengungkap jiwa masyarakat kampung di sekitar tahun-tahun 60an secara nostalgik. Jaafar Taib dengan siri Hang Tuah secara langsung mengangkat nilai-nilai keberanian orang Melayu dan pengaruhnya terhadap politik Asia Nusantara. Raja Hamzah, Saidin Yahya, Halim Teh dan sebagainya lagi sering mengambil intipati nasionalisme sebagai bahan untuk menghasilkan komik. Nilai-nilai yang dipersetujui oleh masyarakat merupakan tema yang sering diungkap oleh pelukis komik di seluuruh dunia.

Abdul Halim Teh

Abdul Halim Teh

Komik telah mempengaruhi banyak bidang kehidupan. Di Perancis, pelukis Pablo Picasso banyak mengilhami karya-karyanya daripada lukisan-lukisan komik lelucon daripada Amerika yang dikirim oleh sahabatnya, Gertude Stein. Karyanya dengan judul, The Dream and the Lie of Franco (1937) banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur lukisan komik. Begitu juga, bila George Herriman menyebarkan contoh-contoh daripada Krazy Kat, hasil karyanya ke Perancis, maka dengan segera ia dianggap sebagai contoh-contoh senilukis Dada yang terawal. Beberapa orang tokoh senilukis moden, termasuk George B.Luks dan Lyonel Feininger memulakan karier mereka dengan melukis komik. Komik dijadi asas pertama mereka dalam mengenali bentuk-bentuk senilukis moden yang lebih profesional sifatnya. Di Malaysia aliran seperti pernah dimulakan Latiff Mohidin,yang pernah melukis komik dan kartun dengan menggunakan nama Alma. Selain itu, Jaafar Taib dan Azman Yusof juga turut merintis aliran ini sebelum menjadi pelukis tersohor.

A.Mamud,karya kartunis Fatah (1995)

A.Mamud,karya kartunis Fatah (1995)

Gerakan senilukis Pop pada tahun-tahun 60an telah memperlihatkan penggunaan secara besar-besaran bentuk, simbol dan stail lukisan komik untuk tujuan estetis. Beberapa orang pelukis sezaman seperti Andy Warhol, Roy Lichtenstein, Mel Ramos, Claes Oldenburg dan Ray Yoshida banyak menggunakan ikonografi senilukis komik sebagai idiom dalam menyampaikan tanggapan sezaman. Imageri komik boleh terdapat di mana-mana sahaja. Baju yang bercorak seperti pakaian watak komik Superman menjadi pakaian yang amat popular sekali di kalangan kanak-kanak dan orang muda.Replika watak-watak komik dijadikan barang dagangan yang menghasilkan keuntungan yang luar biasa.Berbagai fesyen bermula daripada rambut, pakaian dan aksesori juga banyak terhasil daripada idea dan cetusan komik!

Bidang perfileman hari ini dilihat cenderung mengadaptasi buku-buku komik untuk diterjemahkan ke layar perak. Selain dari segi nilai sosiologi dan kepentingannya dari sudut kebudayaan, komik juga penting dari segi sifatnya sendiri sebagai satu jenis pernyataan seni tanpa mengambil kira hubungannya dengan lain-lain kesenian. Ia merupakan satu bidang yang paling sukar untuk diperkatakan kerana kita tidak mempunyai istilah-istilah kritikan yang cukup untuk tujuan itu. Malah kita belum mampu untuk mentafsirkan prinsip-prinsip struktur dan stailistik yang terdapat di sebalik senilukis komik. Untuk itu, kita terpaksa menggunakan istilah-istilah yang dipinjam daripada seni pernyataan kreatif yang lain.

Kita boleh mengupas dan mengulas komik sebagai satu jenis komunikasi dan bagaimana ia boleh digunakan untuk propaganda, pengiklanan, penyebaran maklumat atau sebagai alat pendidikan. Bidang komik juga barangkali boleh dikatakan sebagai mempunyai hubungkait antara tamadun dan budaya dunia. Sebagai contoh, kemajuan bidang penerokaan ke angkasa lepas merupakan ‘khayalan’ yang pernah dicetuskan oleh pelukis-pelukis komik. Dengan kata lain, para pelukis komik merupakan orang pertama mengeluarkan idea dalam bidang aero-angkasa. Berpuluh-puluh tahun sebelum kapal angkasa dicipta, bidang komik sebenarnya telah terlebih dulu telah berjaya meneroka dan menawan angkasa. Begitu juga dengan kejayaan sistem komputer dan segala macam gajet mutakhir sebenarnya telah lama dicetuskan melalui imaginasi karya komik.Pengunaan senjata laser dan kehebatan jentera angkasa sebenarnya telah lama digunakan dalam peperangan angkasa di dalam buku-buku komik.Barangkali tidak ada bidang lain dalam arena kebudayaan dan teknologi yang dapat menyaingi komik dari segi potensi daya kreatif dan peluang menggunakan imaginasi serta mencetuskan inovasi yang menakjubkan!

Kita juga boleh memperkatakan komik sebagai senilukis grafik. Perkara yang menarik perhatian kita mungkin pada aspek visualnya. Seorang pelukis komik terpaksa menghadapi dan menyelesaikan masalah hubungan ruang, keseimbangan bentuk dan hampir semua pergerakan artistik dalam usaha menghasilkan sebuah karya yang kemas dan kukuh. Senilukis komik telah mencerminkan satu stail baru dan melahirkan satu aliran seni bagi perkembangan senilukis pop.

Kita juga dapat mengatakan bahawa komik sangat mirip dengan persembahan drama kerana kedua-duanya bergantung pada kovensi drama seperti watak, dialog,geraklaku, singkatan masa dan keperluan-keperluan pementasan yang lain. Mengikut M.Thomas Inge, komik lebih mirip dengan filem. Will Eisner, yang terkenal kerana inovasi yang dilakukan kepada senilukis komik pernah berkata, “Komik ialah filem di atas kertas”. Komik karya Eisner yang terkenal, The Spirit sentiasa memperlihatkan penggunaan sudut kamera, cahaya, frame, mood yang baik dan ciri-ciri terperinci sebuah filem.Melihat komik-komik karya Eisner sepertilah kita sedang menonton sebuah filem yang kaku tetapi bergerak lancar dalam satu petak ke satu petak.

The Spirit,karya hebat Will Eisner

The Spirit,karya hebat Will Eisner

William Friedkin, penerbit filem The French Connection dan The Exorcist mengakui secara jujur bahawa The Spirit, komik karya Will Eisner banyak mempengaruhi filem-filem keluarannya. Malah ramai pengaranh-pengarah filem menggunakan The Spirit sebagai bahan bantu dalam mencari teknik-teknik dan sudut kamera untuk filem-filem arahan mereka. Di antara pengarah-pengarah filem yang banyak mengeksploit persembahan komik untuk kerja-kerja filem mereka ialah Frederico Fellini, Orso Welles, Alain Resnais dan George Lucas. Banyak teknik-teknik yang menjadi amalan biasa hari ini telah dirintis dan digunakan dalam komik. Montaj, sudut kamera, panning, kamera dekat, potongan, Framing dan lain-lain lagi adalah teknik-teknik yang menjadi basahan dalam komik.

Oleh kerana komik amat digemari di kalangan pembaca, secara beransur-ansur ia menegakkan kedudukannya di kalangan media komunikasi sezaman. Sesekali ia dipuji keterlaluan, dan kerapkali juga ia dikritik dengan cara yang tidak adil. Kini ia hanya perlu menyakinkan pengkritik terakhir, seperti mana kata Michel Pierre, yang mengharapkan agar komik dapat memenangi perjuangan pelukisnya ke tahap yang paling berharga di tengah tamadun dan budaya terakhir.

Pada mereka yang enggan menerima senilukis komik sebagai satu bentuk ekspresi yang penting, mereka harus diingatkan bahawa penemuan-penemuan ciptaan sains pada awalnya mendapat kutukan dan tentangan yang hebat daripada pelbagai pihak,tetapi akhirnya bahan-bahan yang ditemui itu akhirnya nyata telah membawa faedah yang besar terhadap kemajuan dunia. Apakah bidang komik yang perlu menyakinkan pengkritik terakhir dan terus memenangi perjuangan wira terakhir dengan penghormatan yang serupa?

Fantasi,Oktober 1985, hal. 23,24

Advertisements

Michel Pierre,editor majalah La Bande Dessinne (Cerita Gambar Kartun) daripada Perancis mengatakan bahawa Jeneral De Gaulle pernah mengucapkan kepada Andre Malraux “Anda tahu,secara umumnya hanya Tintin sahaja merupakan pesaing saya di peringkat antarabangsa”.

Tintin et L'lle Noire,karya pelukis Belgium, Herge

Tintin et L’lle Noire,karya pelukis Belgium, Herge

Pengakuan secara berjenaka oleh bekas Presiden Perancis itu dapatlah digambarkan bahawa tarikan sejagat watak komik, Tintin et L’lle Noire yang dicipta dalam tahun 1929 oleh seorang pelukis Belgium yang bernama Herge telah meninggalkan suatu kesan dan pengaruh yang hebat terhadap kehidupan harian Jeneral De Gaulle. Keadaan ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa budaya komik merupakan suatu bidang yang berupaya meninggalkan kesan dan pengaruhnya yang tersendiri terhadap tamadun dan budaya sejagat.

Tidak dinafikan bahawa hari ini lukisan komik atau kartun terus menghibur dan mengkagumkan berjuta pembaca dan peminat di seluruh dunia. Sebagai hasil zaman komunikasi massa, ia mempunyai persamaan dengan wira yang muncul dalam cerita-cerita sastera rakyat dan wira daripada cerita-cerita advancer. Ia berkomunikasi dengan pembaca melalui gambar dan kata-kata yang penuh dramatik daripada watak wiranya yang tak pernah kenal takut menghadapi halangan dan tentangan!

Dengan pentakrifannya sebagai satu bentuk penceritaan secara terbuka yang dramatis berkenaan dengan segolongan watak yang berulangkali muncul dan dipaparkan dalam bentuk lukisan, yang seringkali memuat dialog dalam kurungan serta naratif cerita – komik akhirnya menjadi satu jenis kebudayaan popular yang tidak terhad golongan pembacanya. Ia merupakan satu bidang yang perlu dalam kerja-kerja journalisme melalui kolum  editorial cartoonis yang sering mengulas sesuatu berita atau isu secara mudah, sinis, santai dan menghiburkan melalui sudut pandangan humor pelukisnya.

Untuk meneliti dan melihat sejarah perkembangan komik,kita perlu mengenang kembali kepada bentuk dan kehidupan manusia pra-sejarah semenjak di zaman batu lagi.Daripada zaman primitif itulah wujudnya tradisi ‘menggambar’ cerita seperti apa yang dapat kita kenali sebagai bentuk lukisan komik hari ini.

Budaya menggambar ini muncul semenjak manusia menjadi penghuni gua, di mana kecenderungan seperti itu menjadi alat bagi manusia zaman purba menyatakan perasaannya terhadap alam persekitaran melalui bentuk-bentuk gambar yang dilukis pada dinding-dinding gua. Dengan menggunakan medium arang dan batu-batu kapur, mereka menggambarkan setiap kesan pengalaman dalam bentuk sketsa binatang, alam semulajadi (flora dan fauna) dan juga bentuk-bentuk lukisan bercerita yang mengandungi makna dan falsafah yang tersendiri. Dapatlah dikatakan bahawa lakaran-lakaran cerita itu membawa pengertian terhadap survival yang dihadapi oleh manusia ketika itu.

Di Malaysia, kesan tradisi itu dapat dilihat di Gua Lukisan, lebih kurang 300 meter daripada Pekan Tambun, Ipoh, Perak. Lukisan-lukisan purba yang terdapat di dinding gua tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa keinginan ‘bercerita’ melalui bentuk gambar telah bermula semenjak purbakala lagi!

Lukisan purba di Gua Tambun

Lukisan purba di Gua Tambun

Walaupun struktur cerita yang digambarkan itu tidak lengkap dan sempurna, namun kesan-kesan imaginatif dan kreativiti seniman purbawi itu tidak boleh dinafikan. Ide keperwiraan yang dicetuskan oleh lukisan purba itu sangat menarik, di mana ia mengungkap falsafah ‘yang kuat menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba’. Hal ini mempunyai persamaan dengan tema-tema yang dibawa oleh para pelukis komik mutakhir.

Gambaran musuh bagi manusia zaman purba bukanlah datang daripada manusia itu sendiri,tetapi daripada binatang ganas dan juga iklim alamiah. Simbol seorang lelaki menjulang binatang ganas yang terdapat di dinding gua tersebut membuktikan segalanya.

Perkembangan komik moden hari ini membawa mesej permusuhan di antara manusia sesama manusia dan ini menjadi suatu  pertentangan tema dengan lukisan-lukisan purba, sehingga mewujudkan satu suasana kekejaman yang tak putus-putus.

Tradisi menggambar ini berlanjutan dan berkembang terus selaras dengan tranformasi tamadun manusia itu sendiri. Daripada hasil-hasil penemuan baharu, bidang ini akhirnya berkembang dalam bentuk dan persembahan yang lebih kemas dan kreatif.

Lukisan komik dalam bentuk bersiri yang dihasilkan menerusi petak-petak kecil sebenarnya mempunyai tradisi yang kukuh di kawasan Asia. Perkembangan ini ternyata jelas sekali di kalangan penganut agama Hindu dan Buddha, di mana mereka sering menggambarkan mitos agama dalam bentuk lukisan bersiri di atas helaian kain. Ukiran-ukiran pada tembok berhala yang menggambarkan sejarah perkembangan agama tersebut dapat dilihat pada candi-candi Angkor Wat, di Kampuchea serta Borobodor dan Prambanan, di Jawa.

Angkor Wat

Angkor Wat

Teknik persembahan komik dalam bentuk moden seperti yang ada sekarang telah bermula di Amerika Syarikat, iaitu di akhir abad ke-19. Penggunaan teknik yang lebih sofistikated telah membolehkan sesorang pelukis mempersepadukan di antara teks dan gambar. Melalui teknik yang lebih terbuka pelbagai watak mampu ‘bercakap’ dan menghidupkan cerita tanpa ada batasan ruang.

Perkembangan struktur cerita dan lukisan serta gaya persembahan grafik merupakan campuran di antara kemajuan teknologi moden dengan gaya kreatif manusia itu sendiri. Tradisi yang bermula di dinding-dinding gua zaman Peradaban Neolithic telah bertukar ke atas kertas melalui zaman media cetak. Ia berkembang hasil zaman komunikasi massa yang memerlukan komik dan kartun sebagai alat journalisme yang menonjolkan ungkapan-ungkapan politik dan budaya sesuatu masyarakat.

Komik juga merupakan sintesis tulisan dan lukisan yang jenisnya amat berbagai, dan ia berada di sempadan antara kesusasteran dan visual filem. Teks dan gambarannya saling bertindih dan ia menimbulkan pula suatu bentuk seni yang boleh menarik minat generasi muda terhadapnya.

Kita dapat melihat bahawa lukisan komik berkembang kerana terdapatnya alat percetakan serta kaedah edaran moden, namun ia sebenarnya berasal daripada tradisi lama. Di Benua Eropah,asal-usulnya boleh dikesan daripada gambaran d’Epinal di negara Perancis dan cerita bergambar seorang bangsa Switzerland, Rodolphe Topffer (1799-1846) serta daripada lukisan bergambar seorang bangsa German, Wilhelm Busch (1832-1908).

TheAdventuresofTintinTheSecretoftheUnicorn20113

TinTin,dari komik ke filem

Putera Hang Tuah,karya Saidin Yahya

Putera Hang Tuah,karya Saidin Yahya

Di negara Jepun, sejarah komik meraka bermula pada abad ke-9, iaitu melalui lukisan Choju-Guica Emakimono (Cerita-cerita Pada Kertas Bergulung). Ia merupakan campuran di antara lukisan komik dengan laporan berita perang,legenda, falsafah dan kejadian-kejadian harian.

Di negara China pula, komik mula berkembang semenjak Zaman China Purba lagi. Lukisan-lukisan dalam bentuk yang mirip kepada komik telah muncul dalam buku Liau hua jua (Buku Kecil Bergambar). Pada tahun-tahun 20-an dan seterusnya, buku-buku bergambar ini semakin pesat berkembang dan selepas tahun 1939, kebanyakan buku-buku bergambar itu muncul dalam bentuk laporan tentang aspek-aspek negeri China sezaman. Ia juga dicampurkan dengan lukisan komik dengan teknik yang kuno.

Di Malaysia, komik mula berkembang pesat dalam bentuk moden di sekitar tahun-tahun 30-an, di mana ia mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan bidang persuratkhabaran yang mula memasuki era kebangkitan nasionalisme.

Peranan akhbar dan majalah di sekitar tahun 30-an amat besar terhadap perkembangan komik serta para pelukisnya. Antara akhbar dan majalah yang banyak membantu perkembangan komik,kartun dan karikatur adalah seperti Warta Jenaka, Lembaga, Utusan Melayu, Majlis, Utusan Kanak-Kanak dan beberapa lagi. Para pelukis yang bergiat ketika itu di antara, Abdullah Ariff, Saidin Yahya, Yusoff Sharif, Othman Kangkong, Hashim Awang, Ali Sanat dan A.B.Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

akhbar Utusan Kanak-Kanak  wadah pelukis komik 50an

akhbar Utusan Kanak-Kanak wadah pelukis komik 50an

Aliran memudahkan persembahan komik dalam bentuk apa yang kita lihat hari ini bermula di Eropah. Beberapa orang pelukis di sana telah melahirkan bentuk komik yang khusus dengan mempelopori satu aliran yang akhirnya menjadi ikutan kepada para pelukis di seluruh dunia. Aliran ini bermula di Belgium; ia menghasilkan cerita dengan plotnya dijalin dengan baik. kemas dan tidak meleret-leret serta teknik lukisannya yang kelihatan mudah tapi menarik.

Pelukis daripada Amerika Latin juga telah memperkembangkan gaya yang asli, terutamanya pelukis daripada Argentina, di mana terdapat pelukis-pelukis seperti Quino (pelukis siri komik, Mafalda – 1964), Oski, Mordillo, Monoz dan Sampayo, di mana mereka semua telah menerbitkan komik-komik yang bermutu serta kemudiannya menjadi ikutan kepada pelukis-pelukis Amerika Syarikat.

Corto Maltese-The Ethiopic,karya Hugo Pratt

Corto Maltese-The Ethiopic,karya Hugo Pratt

Setiap watak yang terdapat pada cerita-cerita komik atau kartun biasanya dicipta bagi budaya yang khusus dan dibentuk bagi pembaca yang tertentu serta mempunyai kepentingan yang tersendiri mengikut konteks lain. Misalnya siri komik Corto Maltese, The Ethiopics yang dilukis oleh Hugo Pratt untuk majalah-majalah Italy dan Perancis telah disesuaikan pula oleh para pejuang pembebasan Angola. Mereka melihat dan membaca pemikiran watak sayap kiri yang digambarkan oleh Hugo Pratt dalam komik Corto Maltese sebagai membayangkan perjuangan dan tumpuan mereka dalam usaha membebaskan Angola daripada tangan penjajah! Begitulah kuatnya pengaruh komik terhadap tamadun manusia,sejaran dan kebudayaan sejagat.

komik, Nasdine Hodja

komik, Nasdine Hodja

Komik juga boleh menghasilkan alat komunikasi antara tamadun dengan budaya.Hal ini terjadi  apabila Nasrudin Hodja,wira lagenda dalam cerita-cerita humor Islam telah menjadi wira dalam komik Perancis yang diterbitkan oleh majalah mingguan kanak-kanak, Vaillant dalam tahun 1955. Siri komik tersebut dikenali dengan nama Nasdine Hodja, dilukis oleh dua orang pelukis, P.Leguen dan R.Lecureux  banyak memaparkan corak kebudayaan Arab yang jauh bertentangan dengan corak kebudayaan bangsa Perancis.Namun sebagai suatu penghasilan seni, bidang komik dapat menghindari masalah perbezaan budaya melalui caranya yang tersendiri.

Fantasi,Sept.1985,hal: 5,37,38