MENCARI SUSUR GALUR SEJARAH, DI MANAKAH JEJAKNYA?

Posted: 29 Mei 2013 in komik: pintasan sejarah
Tags: , , , , , , , , , , , ,

Dalam usaha menulis kembali sejarah awal kegiatan senilukis komik di Malaysia; satu masalah besar yang terpaksa kita hadapi ialah tentang kekurangan bahan-bahan dokumentasi yang berkaitan dengan bidang tersebut.

Kesenian komik yang tumbuh subur semenjak lama dahulu, tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak para penyelidik dan pengkaji bentuk-bentuk kebudayaan di negara kita. Pandangan sempit sesetengah golongan terhadap kepentingan budaya komik dalam pengwujudan citarasa popular cukup melampau. Komik dikatakan mewakili suatu bentuk kehidupan seni yang penuh khayal dan tidak memberi banyak faedah terhadap aliran kemajuan pemikiran manusia. Tetapi golongan itu juga tidak pernah menyedari betapa khayalan yang dicetuskan oleh senilukis komik telah banyak merintis jalan ke arah kemajuan teknologi moden hari ini.

Kerana sikap dan pandangan sempit inilah menyebabkan bahan-bahan sejarah tentang senilukis komik tidak dijaga dan diurus dengan sebaik mungkin. Buku-buku komik yang diterbit pada peringkat awal pertumbuhannya hilang lenyap ditelan zaman. Amat sukar untuk kita melihat atau membaca komik-komik lama pada masa kini kecuali melalui koleksi yang ada dimiliki oleh pelukis-pelukis lama.Itu pun tak banyak, malah sukar pula untuk mencari pelukis lama. Malah,tidak ada satu badan atau kumpulan pun yang sanggup bergerak ke arah mengumpul komik-komik lama bagi memudahkan pihak pengkaji meneliti susur galur pertumbuhannya untuk dijadikan sebagai khazanah sejarah negara.Kecuaian ini menjadi satu tragedi kepada bidang senilukis komik Malaysia!

wak ketok-oleh Ali Sanat (foto ehsan Mohammad Azhar Abdullah

wak ketok-oleh Ali Sanat (foto ehsan Mohammad Azhar Abdullah).

Kita juga tidak menemui satu senarai lengkap tentang jumlah sebenar buku-buku komik yang pernah diterbitkan di Malaysia. Begitu juga, kita tidak dapat mengesan tentang jumlah sebenar para pelukis yang pernah melibatkan diri dalam dunia perlukisan komik. Yang ada pada kita hanyalah senarai ‘nama-nama besar’ yang dapat mewakili zamannya. Tanpa bahan-bahan dokumentasi yang lengkap, bagaimana kita mampu memugar misteri yang begitu lama menyelubungi wajah komik dan pelukisnya?

Cara manakah dapat kita mulakan dasar kritikan komik serta kajian-kajian lanjut yang berhubung dengan tahap kemajuannya? Seribu tanda tanya berputar dalam batu jemala kita!

Melupakan sejenak masalah tersebut, kita mungkin mampu untuk merenung kembali kegiatan-kegiatan awal senilukis komik Malaysia secara jalan  pintas dengan mengupas beberapa karya dan pelukis yang mewakili zamannya. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi tapak mula bagi kajian-kajian yang selanjutnya.

Tradisi seni penciptaan komik di Malaysia bermula semenjak tahun-tahun 30an, apabila Mohd. Ali Hj. Sanat muncul dengan karikatur Wak Ketok di akhbar Utusan Zaman. Beliau juga dikenali sebagai Ali Sanat atau A.S dalam penciptaan komik. Beliau adalah pelukis sezaman yang aktif ketika itu. Penglibatannya dalam bidang senilukis komik menjadikan beliau sebagai seorang perintis kepada suatu bentuk kebudayaan baru di Tanah Melayu.

Ali Sanat,pelukis Wak Ketok

Ali Sanat,pelukis Wak Ketok

Beliau juga menghasilkan Wak Keledek yang merupakan watak kartun (karikatur) yang muncul sezaman dengan siri kartun Wak Ketok. Kedua-dua siri komik ini menjadi perintis kepada pertumbuhan senilukis komik di negara kita.

Evolusi perkembangan senilukis komik berlaku akibat daripada kemunculan memuncak bidang persuratkhabaran (journalisme) di sekitar tahun-tahun 30an. Kemajuan bidang komunikasi massa ketika itu sedikit sebanyak telah mendorong pengarang-pengarang akhbar untuk memberi suatu bentuk baru dalam corak pemberitaan akhbar. Menimbulkan variasi dalam bidang persuratkhabaran adalah suatu hal yang penting bagi memikat pembaca dan menaikkan edaran akhbar. Dalam konteks ini, para pengarang akhbar melihat bahawa lukisan boleh menjadi alat penting kepada mereka dalam menulis sesuatu ulasan atau isu.

Melalui cara inilah Wak Ketok muncul buat pertamakalinya di tengah gelanggang komik Melayu. Potensi komik sebagai alat journalisme baru cukup nyata apabila beberapa buah akhbar yang lain seperti Warta Jenaka, Lembaga, Warta Ahad, Utusan Melayu, Majlis dan sebagainya lagi telah memberi ruang untuk penampungan lukisan komik. Perlu diingatkan bahawa ruang komik di akhbar ketika itu terlalu kecil dan bentuknya pula bukanlah seperti komik yang kita tatapi hari ini. Ia lebih merupakan komik yang berbentuk karikatur politik yang mengupas setiap isu secara humor. Komik dalam erti maksud yang sebenar ‘yang mempunyai dialog dalam kurungan serta naratif cerita dalam petak’  tidak ada pada ketika itu. Komik dalam rupa karikatur itu biasanya merupakan sisipan untuk sebuah tulisan pojok. Atau lebih tepat,ia merupaka ilustrasi untuk pojok yang ditulis oleh pengarang. Komik ketika itu tidak bersifat seperti apa yang kita lihat dan baca pada hari ini.

Abdul Rahim Kajai,penulis pojok Wak Ketok

Abdul Rahim Kajai,penulis pojok Wak Ketok

Wak Ketok adalah satu ruangan pojok yang ditulis oleh Abdul Rahim Kajai, seorang tokoh dalam dunia kewartawanan Melayu yang terkenal ketika itu. Ia merupakan satu ruangan yang paling popular di akhbar Utusan Zaman. Kreativiti humor yang dicetuskan melalui ruangan pojok Wak Ketok tidak mungkin berkesan tanpa bantuan Ali Sanat yang menghasilkan karikaturnya. Kombinasi kreativiti Ali Sanat dan pemikiran Kajai telah berjaya menjadikan ruangan pojok  Wak Ketok digemari oleh pembaca ketika itu kerana kritikan dan ulasannya sangat tajam dan sinis.

Gejolak peristiwa yang banyak berlaku di sekitar tahun-tahun 30an telah memberi ilham kepada Ali Sanat untuk menghasilkan karya-karya yang berkesan (dilihat dari sudut sezaman), seperti isu-isu Takrif Melayu, agama,  iaitu pertembungan pendapat antara Kaum Tua dengan Kaum Muda, sosial, politik dan sebagainya telah menjadikan kritikan yang ingin disampaikan oleh pengarang pojok berjaya dibantu melalui karikatur iringan.

Mengikut Abdul Latiff Abu Bakar, Mohd. Ali Hj. Sanat melukis kartun Wak Ketok berdasarkan kepada peristiwa-peristiwa semasa yang banyak ditimbulkan di dalam akhbar-akhbar ketika itu. Melalui lukisan yang dihasilkannya itu, Rahim Kajai mendapat ilham untuk menulis sesuatu isu dalam pojoknya. (Lihat, Abdul Rahim Kajai Wartawan dan Sasterawan Melayu, DBP 1984, hal. 72-73).

Lukisan komik karikatur Wak Ketok terlalu mudah dan mutunya tidaklah mampu mencapai tahap yang paling rendah sekalipun, namun begitu ia sesuai dengan perkembangan yang dilalui masa itu. Dalam konteks ini kita tidak melihat kepada ketinggian mutunya, tetapi yang penting adalah gerakannya telah membawa era baru dalam sejarah kebudayaan Melayu.

di antara pojok Wak Ketok karya Ali Sanat.Gambar ehasan Muhammad Azhar Abdullah

di antara pojok Wak Ketok karya Ali Sanat.Gambar ehsan Muhammad Azhar Abdullah

Pojok Wak Ketok

Pojok Wak Ketok

Kemunculan satu bidang baru yang menuntut potensi daya kreatif dari para penggiatnya telah memberi kesan yang kukuh  kepada bidang journalisme. Pengertian baru mula dikesani oleh para pembaca bila mana Wak Ketok banyak menonjolkan ungkapan-ungkapan politik dan sosial yang mengandungi unsur-unsur nasionalisme. Ini merupakan satu komitmen baru dalam bentuk budaya persuratkhabaran Melayu.

Pojok Wak Ketok

Pojok Wak Ketok

Penekanan komik dalam bentuk karikatur adalah disebabkan cara begini lebih mudah dan mantap dalam memberi satu persembahan kritikal melalui tusukan jarum humornya. Masalah kekurangan ruang juga menjadikan sebab-sebab komik berbentuk karikatur lebih cenderung diamalkan ketika itu. Karikatur tidak memerlukan ruang yang banyak. Ini berbeza dengan komik ‘cerita bergambar’, di mana ruang yang lebih luas diperlukan bagi memantap plot penceritaannya. Naratif dan dialog karikatur Wak Ketok adalah bersandar kepada tulisan pojoknya. Ini disebabkan ciri-ciri karikatur pada umumnya tidak mempunyai dialog yang khusus. Ia juga tidak mempunyai plot dan susun-lapis perkembangan cerita yang ‘bergerak’. Bentuk persembahannya kelihatan kaku tetapi amat tajam kritikannya.

Wak Ketok dihasilkan berasaskan pada pertimbangan-pertimbangan intelektual yang lahir daripada kekuatan kreativiti dua orang pendukungnya. Penterjemahan setiap isu secara simbolis melalui watak kartun dapat mengelak dari menyentuh secara langsung individu atau kumpulan yang menjadi sasaran kritikannya. Manakala tulisan pojoknya pula  menggambarkan pula satu bentuk ulasan yang ‘terus terang’ dari sudut pandangan Kajai. Pendekatan seperti ini menjadi lebih relevan dalam bentuk kewartawanan semasa. Malah aliran seperti ini menjadi satu falsafah tradisional dalam cerita-cerita penglipurlara.

Penemuan bidang baru ini juga mewujudkan satu suara yang individualistik dan berupaya menjadi kritis terhadap masa lepas. Perspektif seperti ini tidak pernah wujud dalam bidang journalisme sebelum itu. Dalam hubungan ini, Ali Sanat telah merintis satu tradisi; di mana akhirnya ia berdiri kukuh di tengah-tengah gelora kebudayaan popular mutakhir Malaysia.

Fantasi, November 1985, hal. 23,24

strong

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s