MELIHAT GARIS KOMIK DAN LAKARAN SEJARAH

Posted: 19 Disember 2013 in komik: pintasan sejarah
Tag:, , , , , ,

PELUKIS KOMIK yang bergiat di antara akhir 50an masih membawa tema dan teknik yang streotaip sehingga kelihatan agak klise. Tidak ada garis baru untuk merubah status-quo tradisi. Tema-tema tradisi terus berulangan.

Pelukis zaman permulaan hingga merapat ke akhir 50an, rata-rata mengamalkan teknik lama, seakan gagal untuk mengimbangi di antara cerita dan gambar. Namun begitu, ada juga yang berjaya membentuk persembahan yang lebih kemas dan menarik. Kelemahan mungkin terjadi akibat kekecilan pengalaman dalam mengikuti arus perkembangan komik dunia. Bahan rujukan yang kurang serta peralatan melukis yang serba ketinggalan merupaka di antara sebab kreativiti pelukis komik Melayu ketika itu kelihatan selayar sahaja.

Pelukis dari Kelantan selepas Yusof Idris Kelantan, Othman Kangkong dan K.Bali, muncul pula  seorang pelukis baru, Nik Mahmood Idris. Beliau adalah seorang guru lepasan Raffle’s Collage, Singapura yang juga terkenal sebagai penggiat senilukis di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.

Dalam tahun 1955, beliau menghasilkan buku komik yang berjudul Kasturi, terbitan Kedai Buku Abu Bakar Al-Ahmadi, Kota Bharu. Kasturi merupakan sebuah karya yang sederhana dari segi mutu lukisan dan juga penerapan jalan cerita. Namun ia masih boleh di anggap sebagai suatu sumbangan untuk sejarah senilukis komik di Malaysia.

Kasturi,oleh Nik Mahmood Idris (1955)

Kasturi,oleh Nik Mahmood Idris (1955)

Kasturi sebagai sebuah karya, kelihatan gagal membentuk panel yang teratur (condified). Plot ceritanya agak tak tersusun menurut struktur sebuah komik yang cantik. Bentuk kelemahan sebegini, kelihatan jelas dalam kebanyakan karya pelukis yang baru muncul. Bagaimanapun kelemahan itu relatif sifatnya memandangkan world-view pelukis ketika itu.

Komik Kasturi,halaman intro

Komik Kasturi,halaman intro.

Halaman kata pengantar komik Kasturi

Halaman kata pengantar komik Kasturi.

Pelukis lain yang muncul di pertengahan tahun 50an antaranya ialah Abdul Halim Teh. Anak kelahiran Kampung Raban, Lenggong Perak pada 11 Disember 1933, pertama kali muncul dalam bidang senilukis komik melalui majalah HIBORAN, terbitan Harmy, Singapura. Beliau pernah bertugas di Pustaka Antara,Dewan Bahasa dan Pustaka,Sinaran Brother Sdn.Bhd dan dengan FELDA sebagai pelukis. Karyanya banyak diterbitkan oleh Pustaka Antara (Kuala Lumpur)  dan Sinaran Bros (Pulau Pinang). Halim Teh kemudian muncul sebagai seorang tokoh penting dalam sejarah senilukis komik Melayu di Malaysia. Karyanya mendapat tempat di kalangan peminat dan penggemar komik. Siri terkenalnya ‘Keris Berpuaka’ yang diterbitkan dalam 11 siri oleh Sinaran Bros, di Pulau Pinang menjadikan beliau sangat popular.

Bidan Muda,oleh Halim Teh

Bidan Muda,oleh Halim Teh,terbitan Sinaran Bros (1965).

Tuah Adek, oleh Halim Teh, terbitan Pustaka Antara (1963)

Tuah Adek, oleh Halim Teh, terbitan Pustaka Antara (1963)

Abdul Halim Teh

Abdul Halim Teh.

Dari Terengganu muncul seorang pelukis komik berbakat, Hashim Awang (kemudian Prof.Madya Hashim Awang,pengkritik sastera yang terkenal). Beliau bermula dengan menghasil komik melalui akhbar Utusan Kanak-Kanak (terbitan Utusan Melayu) dan juga majalah Tunas. 

Hashim Awang

Hashim Awang. 

Tahun-tahun 60an merupakan zaman kegiatan senilukis komik yang paling subur dan meriah. Beberapa penerbitan seperti Pustaka Antara, Sinaran Bros, The Sentosa Store Kuala Pilah, Geliga Limited, Melayu Raya Press dan bebarapa yang lain lagi menunjukkan minat yang tinggi dengan menerbitkan banyak buku komik untuk pasaran. Minat masyarakat terhadap komik pada era ini turut melahirkan ramai bakat baru yang menunjukkan potensi masing-masing. Nama-nama baru yang muncul ketika ini antaranya Alias Kulub, Osman Baru, Meor Shahriman Hassan (Mishar), Sulaiman Awang, Hussein Saad, Lat, Samudera Perwira, Shukor Lin, Rahman Bakree, Solihin Hj.Othman, A.Fauzi Yusof dan Hambia E (sekadar menyebut beberapa nama).

Pelukis lama juga kelihatan masih terus bergiat dengan lebih matang seperti K.Bali,Raja Hamzah, Saidin Yahya, Rosdin, Nas Achnas, Manbina, Zadin dan beberapa lagi. Kegiatan dan ketrampilan pelukis lama menjadi dorongan yang kuat kepada pelukis muda untuk meningkatkan gaya dan persembahan.

Komen-komen
  1. […] Aku ada jumpa satu entri blog oleh Rudi Mahmood yang cerita sedikit tentang sejarah komik di Malaysia. Korang boleh baca entrinya di sini. […]

  2. […] Encik Rahmat at Sinaran Bros showed me photos of their hey days. I saw a black and white photo of enormous printing machines manned by 2-3 men, another photo of 10-12 staff (mostly women) at tables, a photo of Tunku Abdul Rahman visiting Sinaran Bros and also a photo of the then renowned cartoonist, Encik Halim Teh (Keris Berpuaka). […]

Tinggalkan komen