MENGUNJUNGI ZAMAN 40AN: KOMIK MELAYU MULA MELANGKAH (1)

Posted: 7 Jun 2013 in komik: pintasan sejarah
Tags: , , , , , , , , , , ,

Seperti bidang lain juga, komik Melayu ikut berkembang menurut peredaran waktu. Lewat tahun-tahun 40an, kita melihat satu gerakan baru muncul dalam urutan sejarah senilukis komik di Malaysia (Malaya). Kemunculan nama-nama baru yang lebih progresif seperrti Saidin Yahya, Jamil Sulong, Abdullah Salehi, A.Ghani, K.Bali, O.S.Arshad, Mohd.Hussin, Yusoff Idris Kelantan dan Nas Achnas (sekadar menyebut beberapa nama) telah membawa satu bentuk yang lebih menyakinkan dalam persembahan komik.

Komik dalam bentuk ‘cerita bergambar’ telah mula diamal dengan baiknya. Kemunculan majalah HIBORAN dalam tahun 1946 telah membuka peluang kepada beberapa orang pelukis untuk menunjukkan bakat dalam bidang komik. Beberapa orang pelukis seperti K.Bali, O.S.Arshad, Mohd.Hussin dan Yusoff Idris Kelantan telah menghasilkan komik yang bersambung-sambung dalam setiap keluaran majalah Hiboran. Manakala Nas Achnas, seorang pelukis yang berasal dari Sumatera Barat, pertama kali menyumbangkan komiknya untuk majalah Hiboran bilangan 26, keluaran Hari Raya 1366 (1947) dengan cerita Coretan Sebulan Pertemporan Republik Indonesia Dengan Belanda. Beliau juga merupakan seorang pelukis ilustrasi kulit buku serta seorang pengarah filem yang aktif.

Imej

Yusuf Idris Kelantan

Pelukis lain yang muncul dengan penuh berbakat ketika itu ialah Jamil Sulong (juga pengarah Filem) yang mula bergiat di sekitar pertengahan tahun 40an, bila mana muncul beberapa buah lukisan komik beliau di majalah-majalah seperti Film Raya, Hiboran, Terang Bulan dan beberapa buah lagi. Di antara komik beliau yang terkenal seperti Harta Lanon, Sang Arjuna, Kelawak Hiboran dan sebagainya.

Siri Kelawak Hiboran yang tersiar di majalah Hiboran adalah sebuah karya Jamil Sulong yang sangat popular ketika itu. Ia merupakan persembahan humor yang memberi hiburan serta tunjuk teladan kepada para pembaca. Mesej yang disampaikan melalui bentuk humor biasanya meninggalkan kesan yang dalam. Jamil Sulong juga seorang penulis fiksyen dan rencana yang aktif ketika itu. Keupayaan beliau menguasai dua bidang kreatif ini telah menjadikan karya komik yang dihasilkannya mengadungi ‘cerita dan gambar’ yang menarik dan berkesan.

Majalah Bintang,1951

Kelawak Hiboran,karya Jamil Sulong,majalah Hiboran,1951

komik Jamil Sulong,Sang Rajuna,majalah TUNAS

komik Jamil Sulong,Sang Rajuna,majalah TUNAS,1950

Tak Pandai Mengira-karya Jamil Sulong,Filem Raya,12 Mei 1951

Tak Pandai Mengira-karya Jamil Sulong,Filem Raya,12 Mei 1951

Imej

Nas Achnas

Tahap pencapaian senilukis komik yang lebih bermakna berlaku apabila muncul Saidin Yahya, seorang pelukis berbakat daripada Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan salah seorang tokoh terpenting dalam bidang senilukis komik di Malaysia. Kemunculan beliau membawa erti dan makna baru kepada pertumbuhan  senilukis komik Melayu moden.

Saidin Yahya adalah seorang pelukis yang memiliki falsafahnya yang tersendiri dalam berkarya. Komik-komik hasil lukisannya berpaut kuat kepada tradisi Melayu yang berasaskan kepada prinsip moral. Secara tidak langsung, karya-karya Saidin Yahya merupakan pancaran di antara unsur-unsur patriotik dan moral; di mana unsur-unsur tersebut berupa suatu cetusan ke arah kebangkitan semangat nasionalisme melalui seni komik

Imej

Saidin Yahya, tokoh ulung komik Melayu

Imej

Badang, karya Saidin Yahya

Untuk menyambung perbandingan antara karikatur Wak Ketok dengan hasil-hasil ‘cerita bergambar’ dari pelukis selepasnya, satu hubungan yang tidak hanya sesuatu yang lazimnya tetapi memperlihatkan tanda yang paling menyakinkan dari pendapat yang klise dalam pembikinan komik, iaitu perasaan tanggungjawab untuk ‘mengembangkan’ karikatur corak lama menjadi ‘cerita bergambar’ dan keyakinan bahawa proses ini akan membuktikan sesuatu yang lebih baik, yang mana sebuah karikatur ringan yang diasaskan oleh Ali Sanat boleh menjadi suatu persembahan komik yang berdiri dalam erti kata yang sebenar.

Dalam hubungan ini, kelihatan bahawa Saidin Yahya serta beberapa orang rakan seperti Senu (kemudian Tan Sri Senu Abdul Rahman), A.B.Ibrahim dan C.Mahat telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mewujudkan satu bentuk kebudayaan komik yang boleh dipertanggungjawabkan. Buku-buku komik perlu diterbitkan sebanyak mungkin bagi mengisi kekosongan bahan bacaan bergambar yang amat ketara ketika itu.

Komik-komik Saidin Yahya kebanyakannya membawa tema-tema bercorak tradisi (purbawara) seperti cerita-cerita legenda, mitos, bari dan cerita-cerita yang di petik daripada buku Sejarah Melayu. Cerita-cerita popular seperti Si Tanggang, Raja Bersiong, Mahsuri, Hang Tuah, Badang dan sebagainya banyak dikutip oleh Saidin Yahya untuk dijadikan komik. Unsur-unsur moral dan pendidikan diterap dengan baik dalam setiap petak lukisan komiknya.

Dengan mengamalkan gaya dan teknik lukisan Melayu yang asli, Saidin menghasilkan karya yang tidak kesasar dari nilai hidup masyarakatnya. Lukisan beliau amat jelas dan berkesan dengan penekanan terhadap detail. Kita boleh mengenali identiti Saidin melalui gaya dan gurisan (stroke) yang sangat asli. Tanpa melihat tandanama sekalipun kita sudah tahu bentuk rupa dan gaya lukisan komik Saidin. Walaupun komik-komik karya Saidin Yahya banyak membawa unsur-unsur didaktif atau motif pengajaran yang tebal, namun beliau bukanlah seorang propagandis totok! Beliau memberi satu persembahan komik yang berkesan; campuran di antara kematangan lukisan dan kemantapan cerita.

Saidin Yahya sangat lurus dalam mengamalkan teknik bercerita secara tradisi. Ini amat sesuai dengan tingkat pengalaman sejarah senilukis komik ketika itu. Malah, teknik plot-petak yang lurus merupakan satu struktur yang kukuh diamalkan ketika itu. Sebagai seorang tokoh penting dalam sejarah senilukis komik di Malaysia, Saidin telah menjadi suatu contoh kepada pelukis-pelukis lain dalam memperkembangkan bakat mereka. Pengaruh Saidin Yahya sangat kuat dan dia menjadi ikutan ramai pelukis-pelukis baru

Puteri Langkawi, oleh Saidin Yahya, Mujallah Guru 1955

Sultan Alauddin, karya Saidin Yahya 1959

.

Sebuah komik Saidin yang menarik pada hemat saya ialah Hang Tuah, (Sinaran Bros,1954) yang berupa satu mitologi sejarah keagungan Kerajaan Melayu Melaka yang turut ditunjangi oleh keperwiraan para pahlawannya. Bagi satu jangka masa tertentu, kita melihat siri ini seperti sebuah filem yang bergerak di atas kertas.Tulisan Jawi sebagai naratif ceritanya juga cantik seperti mana juga lukisannya.

Putera Hang Tuan 1, oleh Saidin Yahya

Putera Hang Tuan 1, oleh Saidin Yahya

Hang Tuah, komik karya Saidin mungkin tidak mampu menyaingi tingkat pencapaian siri Hang Tuah, komik karya pelukis Jaafar Taib yang muncul hampir 30 tahun selepasnya. Hang Tuah dari tangan Jaafar Taib muncul ketika senilukis komik Melayu Malaysia berada di tahap kemuncak perkembangannya melalui peralatan dan tenik moden yang muncul sejajar dengan zamannya.

Sebuah lagi karya Saidin yang juga menarik untuk dihayati ialah Badang Beroleh Gagah (Sinaran Bros, 1956) iaitu sebuah kisah yang popular di kalangan masyarakat Melayu. Komik Badang Beroleh Gagah, seperti mana komik Hang Tuah merupakan cerita yang dipetik dari buku Sejarah Melayu, karya Tun Seri Lanang yang terkenal itu. Komik Badang Beroleh Gagah merupakan penonjolan watak supernatural Melayu. Badang ciptaan Saidin mungkin tidak sehebat lukisan komik Amerika yang menonjolkan watak super-hero mereka seperti komik Conan, Hulk dan sebagainya. Namun kekuatan Badang lebih ditonjolkan melalui kekuatan dan keperkasaan yang tercetus secara mistik batin. Watak Badang dan hero komik Amerika sangat berbeza dari segi nilai budaya.

strip komik Hang Tuah,karya Jaafar Taib,Berita Harian,Sabtu,19 Disember 1981

strip komik Hang Tuah,karya Jaafar Taib,Berita Harian,Sabtu,19 Disember 1981

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982

Komen-komen
  1. Yamin Daud berkata:

    Sebuah research yang menarik untuk pencinta komik tanah air…..teruskan TAHNIAH!

    • pokdi58 berkata:

      Terima kasih Min, kerana sudi mengunjungi blog yang tak seberapa ni, mudah-mudahan dapat memberi manfaat. Minat terhadap komik ni dah lama tapi sejak mula bekerja dengan Min di Pustaka Dayacipta dan Mediaseni dulu, ia banyak membantu memperkembangkan lagi fahaman saya terhadap bidang komik dengan suatu makna yang lebih luas..terima kasih.Wassalam

  2. azhar abdullah berkata:

    salam,, saya sangat suka artikel ini, minta izin rujukan untuk artikel research saya. mungkin tuan boleh saya hubungi untuk mengkaji lagi khazanah komik kita.

    muhamad azhar abdullah

    • pokdi58 berkata:

      terima kasih sdr Muhamad azhar kerana sudi mengunjungi laman ini.Tujuan saya menulis blog ini semata-mata ingin berkongsi pengalaman sepanjang berkerja dalam pengurusan penerbitan komik bersama Penerbitan Mediaseni dan Pustaka Dayacipta bersama bekas boss saya En Yamin Daud.Sepanjang saya menjadi editor majalah Fantasi terbitan Creative Enterprise suatu ketika dulu,saya menulis setiap bulan artikel berkenaan sejarah komik dan bersama aruah Rejabhad,saya berusaha untuk menubuhkan mini arkib untuk komik dan kartun.Ramai orang-orang persendirian membantu dengan mengirim keratan kartun-lama dan kami siarkan dalam halaman ‘kartun dulu-dulu’ dalam Gila-Gila.Saya juga berikhtiar mencari pelukis-pelukis lama yang masih hidup untuk merakam sejarah penglibatan mereka.Saya harap tulisan tak seberapa ini dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja yang memerlukan.Sdr boleh guna bahan-bahan dalam blog ini.upahnya hanya warwar saja blog ini.Wassalam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s