KOMIK: SATU KOMUNIKASI ANTARA TAMADUN DENGAN BUDAYA (2)

Posted: 28 Mei 2013 in komik: pintasan sejarah
Tags: , , , , , , , ,

Bidang komik telah memberi satu pengertian baru kepada perkembangan politik dan sosial sesuatu masyarakat. Ia juga mencerminkan dengan jelas sikap, selera dan tabiat masyarakat ramai. Oleh itu setiap persembahan komik perlu diawasi agar tidak menyentuh mana-mana pihak secara terang-terangan.

Di Amerika Syarikat, pada suatu masa ruangan komik Little Orphan Annie pernah ditarik kerana ia mengecam rancangan Presiden F.D.Roosevelt dan begitu juga komik Pogo sering juga ditarik penerbitannya dalam tahun 50an daripada akhbar-akhbar kawasan Selatan Amerika kerana menyindir sistem pelajaran yang membeza-bezakan warna kulit. (Lihat,The Comics As Culture dalam Journal of Popular Culture, Jilid 12,Bil.5, September 1979 oleh M.Thomas Inge).

Di Malaysia,aliran komik yang mengkritik serta mengecam tidak banyak berlaku.Namun dalam kecamuk politik mutakhir,beberapa kartunis dilihat lebih berani membuat pentafsiran politik dengan menggunakan kartun untuk mengkritik pemimpin.Hal ini saya akan perkatakan kemudian.

Ada juga terdapatbeberapa penerbit daripada luar Malaysia,umpamanya telah mengedar komik-komik yang didapati bercanggah dengan akidah Islam.Pada tahun 1985,Jabatan Perdana Menteri melalui Pusat Islam telah mengesan sepuluh buah  buku komik yang menonjolkan cerita tentang nabi-nabi; dengan menggambarkan perwajahan nabi-nabi. Komik tersebut terang-terang melanggar akidah Islam yang melarang melukis atau menggambarkan wajah nabi. (Lihat,Berita Minggu,9 Jun 1985,hal.17)

Begitu juga terdapat komik-komik berbahasa Cina yang diterbitkan di luar negara cuba menyebarkan dakyah komunis melalui bentuk seni yang mempunyai bilangan pembaca yang tidak terhad,(lihat,Berita Harian,5 November 1984,hal.1). Keadaan seperti ini ini mesti diawasi agar komik tidak dijadikan alat untuk memperkembangkan fahaman politik anarkis yang menolak kewujudan Tuhan. Mengeksploitasikan bidang komik untuk sesuatu tujuan tidaklah bersalahan tetapi kalau sesuatu tujuan itu nyata dan terang-terangan melanggar etika, maka ia perlu dicegah.

Tiap-tiap ruangan komik atau kartun dalam akhbar harian masing-masing menyokong salah satu daripada nilai-nilai yang dipersetujui bersama dalam setiap masyarakat. Blondie, karya Chic Young dan Li’ Abner menyokong nilai bahawa keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Di Norway, siri kartun Blondie telah berjaya membantu jualan marjerin. Siri komik Judge Parker dan Rex Morgan pula menyokong idea bahawa harus ada ketertiban dan keadilan dalam melakukan berbagai profesion. Manakala siri Peanuts dan The Wizard of Id pula mengandungi sindiran humor yang pada waktu sama menjadi kayu ukur pada penyelewengan yang dipaparkannya.

Di Malaysia, siri  kartun Din Teksi, umpamanya membawa mesej dan kesimpulan kepada bentuk kehidupan keluarga bahagia serta ragam corak kehidupan masyarakat kota.Kartunis Nan, sebagai pelukisnya sering melihat keharmonian hidup masyarakat majmuk melalui imaginasi humor seorang pemandu teksi separuh usia yang berurusan dengan pelbagai tingkahlaku msayarakat kota dalam semua peringkat.

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982

strip komik Hang Tuah,oleh Jaafar Taib,Berita Hariab,Jumaat,22 Januari 1982.

Lat, melalui siri Si Mamat mengeksploitasi watak kanak-kanak melalui kenakalannya bagi mencetuskan kritikan secara tidak langsung terhadap kehidupan sosial masyarakat Malaysia. Fatah, melalui siri A.Mamud dan Malaysia Permai mengungkap jiwa masyarakat kampung di sekitar tahun-tahun 60an secara nostalgik. Jaafar Taib dengan siri Hang Tuah secara langsung mengangkat nilai-nilai keberanian orang Melayu dan pengaruhnya terhadap politik Asia Nusantara. Raja Hamzah, Saidin Yahya, Halim Teh dan sebagainya lagi sering mengambil intipati nasionalisme sebagai bahan untuk menghasilkan komik. Nilai-nilai yang dipersetujui oleh masyarakat merupakan tema yang sering diungkap oleh pelukis komik di seluuruh dunia.

Abdul Halim Teh

Abdul Halim Teh

Komik telah mempengaruhi banyak bidang kehidupan. Di Perancis, pelukis Pablo Picasso banyak mengilhami karya-karyanya daripada lukisan-lukisan komik lelucon daripada Amerika yang dikirim oleh sahabatnya, Gertude Stein. Karyanya dengan judul, The Dream and the Lie of Franco (1937) banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur lukisan komik. Begitu juga, bila George Herriman menyebarkan contoh-contoh daripada Krazy Kat, hasil karyanya ke Perancis, maka dengan segera ia dianggap sebagai contoh-contoh senilukis Dada yang terawal. Beberapa orang tokoh senilukis moden, termasuk George B.Luks dan Lyonel Feininger memulakan karier mereka dengan melukis komik. Komik dijadi asas pertama mereka dalam mengenali bentuk-bentuk senilukis moden yang lebih profesional sifatnya. Di Malaysia aliran seperti pernah dimulakan Latiff Mohidin,yang pernah melukis komik dan kartun dengan menggunakan nama Alma. Selain itu, Jaafar Taib dan Azman Yusof juga turut merintis aliran ini sebelum menjadi pelukis tersohor.

A.Mamud,karya kartunis Fatah (1995)

A.Mamud,karya kartunis Fatah (1995)

Gerakan senilukis Pop pada tahun-tahun 60an telah memperlihatkan penggunaan secara besar-besaran bentuk, simbol dan stail lukisan komik untuk tujuan estetis. Beberapa orang pelukis sezaman seperti Andy Warhol, Roy Lichtenstein, Mel Ramos, Claes Oldenburg dan Ray Yoshida banyak menggunakan ikonografi senilukis komik sebagai idiom dalam menyampaikan tanggapan sezaman. Imageri komik boleh terdapat di mana-mana sahaja. Baju yang bercorak seperti pakaian watak komik Superman menjadi pakaian yang amat popular sekali di kalangan kanak-kanak dan orang muda.Replika watak-watak komik dijadikan barang dagangan yang menghasilkan keuntungan yang luar biasa.Berbagai fesyen bermula daripada rambut, pakaian dan aksesori juga banyak terhasil daripada idea dan cetusan komik!

Bidang perfileman hari ini dilihat cenderung mengadaptasi buku-buku komik untuk diterjemahkan ke layar perak. Selain dari segi nilai sosiologi dan kepentingannya dari sudut kebudayaan, komik juga penting dari segi sifatnya sendiri sebagai satu jenis pernyataan seni tanpa mengambil kira hubungannya dengan lain-lain kesenian. Ia merupakan satu bidang yang paling sukar untuk diperkatakan kerana kita tidak mempunyai istilah-istilah kritikan yang cukup untuk tujuan itu. Malah kita belum mampu untuk mentafsirkan prinsip-prinsip struktur dan stailistik yang terdapat di sebalik senilukis komik. Untuk itu, kita terpaksa menggunakan istilah-istilah yang dipinjam daripada seni pernyataan kreatif yang lain.

Kita boleh mengupas dan mengulas komik sebagai satu jenis komunikasi dan bagaimana ia boleh digunakan untuk propaganda, pengiklanan, penyebaran maklumat atau sebagai alat pendidikan. Bidang komik juga barangkali boleh dikatakan sebagai mempunyai hubungkait antara tamadun dan budaya dunia. Sebagai contoh, kemajuan bidang penerokaan ke angkasa lepas merupakan ‘khayalan’ yang pernah dicetuskan oleh pelukis-pelukis komik. Dengan kata lain, para pelukis komik merupakan orang pertama mengeluarkan idea dalam bidang aero-angkasa. Berpuluh-puluh tahun sebelum kapal angkasa dicipta, bidang komik sebenarnya telah terlebih dulu telah berjaya meneroka dan menawan angkasa. Begitu juga dengan kejayaan sistem komputer dan segala macam gajet mutakhir sebenarnya telah lama dicetuskan melalui imaginasi karya komik.Pengunaan senjata laser dan kehebatan jentera angkasa sebenarnya telah lama digunakan dalam peperangan angkasa di dalam buku-buku komik.Barangkali tidak ada bidang lain dalam arena kebudayaan dan teknologi yang dapat menyaingi komik dari segi potensi daya kreatif dan peluang menggunakan imaginasi serta mencetuskan inovasi yang menakjubkan!

Kita juga boleh memperkatakan komik sebagai senilukis grafik. Perkara yang menarik perhatian kita mungkin pada aspek visualnya. Seorang pelukis komik terpaksa menghadapi dan menyelesaikan masalah hubungan ruang, keseimbangan bentuk dan hampir semua pergerakan artistik dalam usaha menghasilkan sebuah karya yang kemas dan kukuh. Senilukis komik telah mencerminkan satu stail baru dan melahirkan satu aliran seni bagi perkembangan senilukis pop.

Kita juga dapat mengatakan bahawa komik sangat mirip dengan persembahan drama kerana kedua-duanya bergantung pada kovensi drama seperti watak, dialog,geraklaku, singkatan masa dan keperluan-keperluan pementasan yang lain. Mengikut M.Thomas Inge, komik lebih mirip dengan filem. Will Eisner, yang terkenal kerana inovasi yang dilakukan kepada senilukis komik pernah berkata, “Komik ialah filem di atas kertas”. Komik karya Eisner yang terkenal, The Spirit sentiasa memperlihatkan penggunaan sudut kamera, cahaya, frame, mood yang baik dan ciri-ciri terperinci sebuah filem.Melihat komik-komik karya Eisner sepertilah kita sedang menonton sebuah filem yang kaku tetapi bergerak lancar dalam satu petak ke satu petak.

The Spirit,karya hebat Will Eisner

The Spirit,karya hebat Will Eisner

William Friedkin, penerbit filem The French Connection dan The Exorcist mengakui secara jujur bahawa The Spirit, komik karya Will Eisner banyak mempengaruhi filem-filem keluarannya. Malah ramai pengaranh-pengarah filem menggunakan The Spirit sebagai bahan bantu dalam mencari teknik-teknik dan sudut kamera untuk filem-filem arahan mereka. Di antara pengarah-pengarah filem yang banyak mengeksploit persembahan komik untuk kerja-kerja filem mereka ialah Frederico Fellini, Orso Welles, Alain Resnais dan George Lucas. Banyak teknik-teknik yang menjadi amalan biasa hari ini telah dirintis dan digunakan dalam komik. Montaj, sudut kamera, panning, kamera dekat, potongan, Framing dan lain-lain lagi adalah teknik-teknik yang menjadi basahan dalam komik.

Oleh kerana komik amat digemari di kalangan pembaca, secara beransur-ansur ia menegakkan kedudukannya di kalangan media komunikasi sezaman. Sesekali ia dipuji keterlaluan, dan kerapkali juga ia dikritik dengan cara yang tidak adil. Kini ia hanya perlu menyakinkan pengkritik terakhir, seperti mana kata Michel Pierre, yang mengharapkan agar komik dapat memenangi perjuangan pelukisnya ke tahap yang paling berharga di tengah tamadun dan budaya terakhir.

Pada mereka yang enggan menerima senilukis komik sebagai satu bentuk ekspresi yang penting, mereka harus diingatkan bahawa penemuan-penemuan ciptaan sains pada awalnya mendapat kutukan dan tentangan yang hebat daripada pelbagai pihak,tetapi akhirnya bahan-bahan yang ditemui itu akhirnya nyata telah membawa faedah yang besar terhadap kemajuan dunia. Apakah bidang komik yang perlu menyakinkan pengkritik terakhir dan terus memenangi perjuangan wira terakhir dengan penghormatan yang serupa?

Fantasi,Oktober 1985, hal. 23,24

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s