Posts Tagged ‘Asmara’

Awal tahun-tahun 50an, kegiatan penerbitan majalah-majalah ringan berbentuk hiburan kelihatan tumbuh bercambah dengan suburnya. Majalah-majalah hiburan tersebut banyak membuka ruang  untuk penampungan senilukis komik. Perkembangan bidang komik amat bergantung kepada ruangan majalah untuk memperkembangkan bakat seseorang pelukis dan menyebarkan karya-karya mereka kepada masyarakat.

Di antara majalah dan akhbar yang menyediakan ruangan khusus untuk komik dan juga kartun adalah seperti Hiboran, Gelanggang Filem, Film Raya, Kenchana, Utusan Kanak-Kanak, Utusan Filem dan Sport, Tunas, Mutiara, Utusan Zaman, Hiboran Filem, Fashion, Jenaka, Melayu Raya, Asmara dan sebagainya lagi

Imej

akhbar Utusan Melayu

Manakala penerbit-penerbit buku, majalah dan akhbar yang menunjukkan minat terhadap penerbitan buku-buku komik ataupun siri-siri komik di antaranya adalah seperti Geliga Limited, Harmy, Abu Bakar Al-Ahmadi, M.A.Abdul Hameed, Utusan Melayu,Royal Press, MIBS, Melayu Raya Press Limited dan The Annies Printing Work (sekadar menyebut beberapa nama).

Kemunculan nama-nama baru dalam kelongsong senilukis komik amat ketara ketika itu. Benih yang dicambah oleh Ali Sanat melalui watak pojok Wak Ketoknya mula kelihatan tumbuh dengan suburnya dan menjadi pemangkin kepada perkembangan yang seterusnya.

Nama-nama baru yang muncul ketika itu di antaranya Raja Hamzah, Halim Teh,Hashim Awang, Othman Kangkong,Yusoff Sharif,Yusoff Idris Kelantan,Nora Abdullah,Idris Salam, Rashid Din, Nik Mahmud Idris, K.Bali dan beberapa nama lagi.

Seorang tokoh terpenting dalam senilukis komik yang muncul dalam dekad ini ialah Raja Hamzah. Beliau memulakan kegiatannya pada tahun 1955, bila mana muncul 15 siri buku bergambar yang berjudul Piring Terbang sebagai hasil karyanya yang pertama. Ketika menghasilkan siri buku tersebut, Raja Hamzah masih lagi menuntut di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Selepas tiga tahun menjadi pelukis secara sambilan, kegiatan beliau berkembang apabila bertugas sebagai pelukis di syarikat akhbar Utusan Melayu. Di akhbar Utusan Melayu, Raja Hamzah berjaya membentuk atau menghasilkan dua watak komik, Wak Tempeh dan Dol Keropok, di mana akhirnya kedua-dua siri ini menjadi popular di kalangan pembaca akhbar dan peneliti politik semasa.

Imej

Raja Hamzah, tokoh komik Melayu

Watak Wak Tempeh dan Dol Keropok yang muncul dalam akhbar Utusan Melayu pernah menggemparkan masyarakat Melayu ketika itu dengan episod-episod lucu, bernas,sinis dan sindiran yang menyorot liku kehidupan, terutama dalam perihal sosial, politik dan keagamaan. Sudut pandangannya yang kritikal melalui pencernaan humor mengandungi banyak pengajaran dan nasihat.

Imej

Puteri Bisa,oleh Raja Hamzah,Pustaka Antara 1962

Imej

Puteri Bisa,intro komik Raja Hamzah,1962

Imej

Nelayan Di-Pulau Tengkorak, Pustaka Antara 1961

Imej

Raja Hamzah dan ketelitian karya

Ketika bertugas sebagai pelukis di Pustaka Antara, Raja Hamzah menghasilkan banyak buku-buku komik yang membawa pelbagai tema. Cerita-cerita daripada buku Hikayat 1001 Malam turut diangkat menjadi cerita komik, di samping mengungkap kembali cerita-cerita klasik dari buku Cherita Jenaka seperti Lebai Malang, Si Lunchai, Mat Jenin, Nujum Pak Belalang dan juga cerita-cerita seperti Abu Nawas, Ali Baba, Bawang Puteh Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya.

Komik-komik Raja Hamzah ketika ini membawa tema yang beragam. Daripada tema purbawara, seram, jenaka, kemasyarakatan sehinggalah membawa kepada tema yang lebih besar daripada itu. Beliau menunjukkan potensi yang sebenar dalam bidang komik melalui penerbitan karya secara prolifik. Nilai kesepaduan komik beliau terletak pada kepadatan gambar, cerita dan interaksi watak diseimbangkan dengan baik. Imej-imej figura dan latar hiasan amat menonjol dalam setiap persembahan komiknya. Ruang panel diisi penuh dengan bantuan kesatuan aksi watak, dialog dan naratif cerita yang jelas.

Itulah Raja Hamzah, personaliti komik yang ulung selepas Saidin Yahya, yang mampu membentuk gaya dan identiti tersendiri dalam memperkenalkan bakatnya kepada khalayak pembaca komik

Sebagai seorang pelukis yang memiliki gaya dan gurisannya yang tersendiri, Raja Hamzah berjaya mengelak dirinya dari terpengaruh dengan gaya persembahan komik Saidin Yahya. Beliau berjaya mengangkat mutu lukisan komik Melayu ke tahap yang lebih sempurna. Beliau juga meninggalkan pengaruh yang kukuh terhadap pertumbuhan bakat baru dalam senilukis komik Melayu. Seperti Saidin Yahya, beliau juga menjadi ikon dan ikutan kepada ramai pelukis komik yang baru muncul ketika itu.

Raja Hamzah merupakan seorang pelukis yang gigih dan cermat dalam berkarya. Buku-buku komik hasil karyanya mendapat sambutan baik dari peminat. Namanya menjadi semacam ‘label’ atau jenama utama dalam pemilihan buku-buku komik yang bermutu. Beliau seolah ‘kilang’ yang tak pernah surut dalam berkarya. Memetik kata Kartunis Lat, “…bukan saja kerana lukisan dan ceritanya yang menarik, tetapi komik Raja Hamzah adalah yang paling banyak diterbitkan. Raja Hamzah tidak pernah berhenti mengeluarkan komik baru untuk menjamu selera peminatnya.” (Lihat, Kali Pertama Bertemu Raja Hamzah, Berita Minggu, 18 Oktober 1981, hal.8)

Komik-komik karya Raja Hamzah adalah persembahan hiburan yang mengandungi mesej. Karya yang baik baginya adalah yang mengandungi pengajaran. Melukis komik bagi beliau adalah satu pekerjaan, dan bukan sebagai suatu hobi ataupun memenuhi masa lapang. Kerana itu kita dapat melihat karyanya sangat bertanggungjawab dalam soal mutu dan teknik lukisan. Para pelukis yang tidak serius biasanya melahirkan karya yang mentah dan bermutu rendah. Dalam hal ini Raja Hamzah menegaskan, “…sekiranya mereka menganggap melukis komik sebagai tugas yang perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab, mereka pasti dapat menghasilkan karya yang baik. Dan setiap yang baik boleh memenangi hati orang ramai.” (Berita Minggu, 1973)

Ketika bertugas dengan Kumpulan Akhbar The News Straits Times, Raja Hamzah banyak menghasilkan komik dan kartun di akhbar Berita Harian dan Berita Minggu. Di antara siri yang popular ialah Keluarga Mat Jambul, yang diterbitkan dalam keluaran sulong Berita Harian pada 1 Julai 1957 sehingga 1981 dan juga siri komik Kelana.

Siri Keluarga Mat Jambul memaparkan telatah Mat Jambul dan isterinya Gayah dengan membawa pelbagai isu kekeluargaan yang disentuh secara lelucon. Siri ini sebenarnya merupakan adaptasi strip komik The Gambols yang dilukis oleh kartunis Inggeris, Barry Appleby yang diterbitkan dalam akhbar Daily Express selama 46 tahun  semenjak 1950 dan berakhir apabila Barry Appleby meninggal dalam usia 86 tahun pada 1996. Manakala siri Mat Jambul pula tamat apabila Raja Hamzah meninggal di Arafah, ketika menunaikan fardhu Haji pada 7 Oktober 1981.

Di antara pertengahan tahun 70an, komik Raja Hamzah yang sangat popular melalui akhbar Berita Minggu adalah siri Toyol, kisah Hj.Dawan yang membela toyol yang menjadi ikutan dan menarik minat pelbagai golongan pembaca. Kemunculan siri Toyol mengembalikan populariti Raja Hamzah di kalangan peminat komik. Siri Toyol menjadi begitu popular sehingga timbul gimmick daripada pembaca yang mengatakan bahawa mereka membeli akhbar tersebut semata-mata untuk mengikuti siri tersebut.

siri Keluarga Mat Jambul

siri Keluarga Mat Jambul

Selain siri Toyol, Raja Hamzah juga menghasil komik seperti Sang Kancil, Anak Toyol, Ali Baba, Kalong Noryati, Panglima Nayan, Potret Puaka, Ratna Lela, Aladin dan pocket carton, Mat Setinggan. Dua buah komik beliau juga mendapat tempat di akhbar News Straits Times, setiap hari Jumaat di halaman Friday Flair, iaitu komik Tun Perak dan Tun Fatimah. 

di antara karya komik Raja Hamzah

di antara karya komik Raja Hamzah